Artikel Pilihan

AKIO TOYODA PANDU HONDA – APA DAH JADI NI?

Siapa tak kenal Akio Toyoda, bos syarikat kereta paling sempoi di dunia. Buktinya? Tengok sajalah aksi Toyoda yang dirakam oleh wartawan sewaktu acara rali di Jepun. Beliau kelihatan memandu kenderaan keluaran Honda dan dengan selambanya memberikan tanda bagus bila gambarnya dirakam.

Sewaktu ditanya oleh jurufoto tentang kereta yang dipandu Toyoda, beliau dengan selamba menjawab ia sebuah Honda dan mengangkat ibujari beliau dan terus berlalu pergi.

Kereta yang dipandu Toyoda ialah sebuah Honda Vezel yang juga dikenali dengan nama HR-V di Malaysia. Turut bersama dengan Toyoda di dalam kereta tersebut ialah Juha Kankkunen, juara WRC empat kali dan cukup terkenal dengan jentera Celica GT-Four ST185 pada tahun 1993.

Toyoda dan Kankkunen yang memakai sut perlumbaan lengkap Toyota Gazoo Racing sebenarnya sedang memeriksa laluan sebelum perlumbaan sebenar. Honda tu pun rasanya disewa kerana biasanya mana-mana pasukan rali akan menggunakan kereta biasa yang lebih perlahan untuk memeriksa laluan dan mengambil nota perlumbaan.

Sudah tentu Toyota lebih dari mampu untuk menyediakan kereta kegunaan mereka sendiri untuk tujuan itu tapi Toyoda mungkin ingin berseronok dengan memandu kereta jenama lain. Dia dah pandu macam-macam model Toyota kot sepanjang hidup beliau.

Gambar tersebut kini viral di Jepun memandangkan Toyoda cukup dikenali ramai. Antara komen yang kelakar ialah, “Saya sekarang ialah Akio Honda” dan “Dia mesti peminat kereta sejati.”

Macam mana? Kalau Akio Toyoda yang merupakan bos besar syarikat kereta terbesar di dunia pun boleh berpandangan terbuka terhadap model-model keluaran syarikat lain, kita yang mampu pakai sebuah dua kereta ni tak payah la taksub sangat dengan jenama kita pakai kot.

Google ads
Back to top button