Motosikal

YAMAHA TZR125SP BELGARDA – SAIZ BUKAN PENENTU

Lama sebelum motosikal sport 125cc 4-lejang menjadi idola peminat motosikal bersaiz kecil, model-model sport 125cc 2-lejang sudah terlebih dahulu merajai dunia dengan kehebatan teknologi powervalve, aroma bau asap 2T dan ledakan kuasa yang menggetarkan penunggang dan mereka yang menonton. Nampak macam keseronokan sementara saja kan? Benar, tapi fikir balik mana ada benda kekal atas dunia ni bang. Inilah contoh terbaik spesis rare model sport 2-lejang, Yamaha TZR125SP Belgarda.

Pada awal tahun 90-an, Jepun mempunyai line-up motosikal 250cc 4-selinder yang cukup hebat. Malah model-model 150cc dan 125cc 2-lejang turut dipasarkan di seluruh Asia. Benua Eropah bagaimanapun cuma dibekalkan dengan model 125cc 2-lejang.

Mungkin ada yang mengatakan yang mereka tidak setanding dengan barisan model sportbike yang ada di Asia tetapi jangan pandang rendah kerana mereka mempunyai sebuah model yang sungguh istimewa. Ia merupakan sebuah model kacukan Jepun dan Itali dan dinamakan Yamaha TZR126SP Belgarda.

TZR 125SP Belgarda ini merupakan generasi terakhir dan varian eksklusif (selain TZR125R dan TZR125RR) dalam keluarga TZR125. SP pada hujung namanya bermaksud Sports Production di mana ia merupakan model homologasi perlumbaan. Ini kerana ia dihasilkan sama seperti model yang digunakan dalam perlumbaan Italian Championship – Sports Production. Belgarda pula ialah nama sebuah bandar di Itali tempat motosikal ini dihasilkan.

BACA: HYLM LANCAR YAMAHA MT-09 TRACER CKD – RM52K!

Okey ini motor buatan Itali dengan nama Jepun, macam mana dengan penyelenggaraan? Tiada apa perlu dibimbangkan kerana ia masih sebuah Yamaha cuma diberi sentuhan Itali khusus untuk perlumbaan. Malah beberapa komponennya juga dihasilkan di Jepun sebelum dihantar ke Itali untuk pemasangan. Alah macam pakai RXZ orimotor jugak la. Cuma yang ni lagi mahal.

Apa yang isitmewa sangat pasal motor ni berbanding dengan TZR125 kepunyaan supervisor kilang sebelah rumah Abang Japar? Semestinya ia dilengkapi dengan stiker-stiker ala perlumbaan. Malah yang lebih istimewa, model ini dilengkapi dengan pelbagai aksesori prestasi tinggi perlumbaan seperti fork teleskopik depan terbalik keluaran Paioli, brek keluaran Brembo, rim-rim daripada magnesium serta kerangka Deltabox yang dipinjam daripada TZR250! Kerangka ini dikatakan mampu mengawal kuasa daripada enjin sehingga 600cc tanpa sebarang pengubahsuaian.

Pada tahun terakhir pengeluaran 1993, Yamaha TZR125R dihasilkan lengkap dengan liveri Yamaha Marlboro Red Pocket sama seperti motor juara GP500 Wayne Rainey. Bagaimanapun ia tidak ditawarkan untuk TZR125SP Belgarda ini. Kenapa? Sebab ia hanya dihasilkan dalam tahun 1992 dengan kuota pengeluaran sekitar 95 unit untuk pasaran Itali. 195 unit lagi pula adalah untuk pasaran sekitar Eropah. Hah, nampak tak jumlah sebenar edisi terhad. Tak sampai 500 pun der.

Walaupun hanya mempunyai 125cc, Belgarda ini sebenarnya dibangunkan secara langsung oleh Moto Minarelli, syarikat tuner yang cukup mahir dengan jentera Yamaha yang juga bertanggungjawab membangunkan enjin LC4V kegunaan YZF R125 dan YZF R15.

Jadi bukannya sesuatu yang pelik bila motosikal ini juga turut menggunakan Nikasil Cyclinder “Gilardino” 4DL-00 Spec, YPVS (Yamaha Powervalve System) terbaru pada ketika itu, karburator Dell’Orto VHSA 32 dan piston berspesifikasi tinggi. Malah ia juga mempunyai nisbah gear yang lebih maju serta Ram Air System untuk memastikan aliran udara yang kaya untuk memecut pada kelajuan tinggi.

Okey, apa hasilnya dengan penggunaan semua perkakasan di atas? Hasilnya ialah peningkatan kepada 33hp untuk Belgarda berbanding model TZR125R standard yang datang dari Jepun (26hp). Ledakan kuasanya juga lebih tinggi walaupun sebelum YPVS aktif.

Malah enjinnya boleh diperah sehingga mencecah 13,000 RPM. Kelajuan maksima 174 km/j bukannya sesuatu yang mustahil buat Belgarda. Memang motor-motor underbone sekarang pun boleh mencecah kelajuan tersebut setelah diubahsuai namun percayalah pecutan sebuah jentera lumba hasil tangan tuner profesional memang lain der.

Hasilnya lahirlah sebuah jentera yang hanya mempunyai berat 112 kilogram dan langsung tidak segan silu jika terpaksa berlumba dengan jentera-jentera 125cc hi-spec lain pada zaman itu seperti Cagiva Mito 125, Aprilia RS125 ataupun Suzuki RG125 Gamma. Bahkan sentuhan Itali yang ada padanya membuatkan ia turut kelihatan eksotik walaupun dilahirkan di Jepun.

Google ads
Back to top button