Buletin

PROTON CATAT JUALAN 11,392 UNIT PADA OKTOBER. PENGUASAAN PASARAN 21.3% SEPANJANG TAHUN 2020

PROTON mengumumkan bahawa ia berjaya meningkatkan momentum jualannya, sekali gus memulakan suku terakhir tahun ini dengan cemerlang, apabila jumlah jualan bertambah untuk bulan kelima berturut-turut. 

Dengan jualan 11,392 unit (pasaran tempatan dan eksport), jumlah keseluruhan bulan Oktober telah bertambah sebanyak 20% bagi tempoh sama tahun 2019, tetapi turun 4.6 peratus berbanding September. Secara keseluruhannya, 84,999 unit telah dijual sepanjang tahun 2020, naik 6.2 peratus berbanding tahun lalu dengan penguasaan pasaran mencecah 21.3 peratus.

Walaupun jualan pada Oktober menurun berbanding September, tiga model Proton masih lagi mendahului segmen masing-masing.  Proton Persona yang terpaksa berdepan beberapa pesaing baharu pada tahun 2020, tetap mendahului pasaran sedan segmen-B dengan 2,360 unit. 

Manakala Proton X70 pula mencatat jualan 2,216 unit untuk kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia. Proton Exora kekal di hadapan dalam pasaran MPV segmen-C. Ini membuktikan pasaran untuk kenderaan besar yang mempunyai tujuh tempat duduk masih wujud walaupun jualan SUV semakin meningkat.

“Pertambahan jumlah pelancaran model baru dan jualan pada Oktober menjadi antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia. Kami menganggarkan Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) bulan ini akan melebihi 57,000 unit, kedua tertinggi bagi tahun 2020.

“Kajian terhadap prestasi jualan secara terperinci menunjukkan jualan menurun secara mendadak di Malaysia Timur. Sementara wilayah Tengah pula tiada penambahan berbanding September. Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuatkan pergerakan orang ramai terbatas, sekali gus memberi kesan kepada jualan. 

“Keadaan itu juga mungkin berlaku kerana pelanggan mahu menunggu model baharu Proton X50. Apa pun sebabnya, PROTON yakin dapat mengakhiri tahun ini dengan pencapaian yang cemerlang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Proton EDAR, Roslan Abdullah. 

Google ads
Back to top button