QJMOTOR SRK 921 SV BAKAL LANCAR DI CHINA – 129HP, 93NM
QJMotor bakal menyertai segmen motoikal ‘neo-retro’ menerusi QJMotor SRK 921 SV baharu setelah beberapa imej motosikal itu mula bocor di China.
Menariknya, sekali imbas SRK 921 SV itu kelihatan seperti sebuah jentera MV Agusta Superveloce. Ini kerana reka bentuk motosikal berkenaan merupakan karya pereka Adrian Morton dan Paolo Bianchi dari C-Creative yang merupakan bekas pereka MV Agusta dan anak didik Massimo Tamburini.
Walaupun didakwa masih lagi dalam peringkat prototaip namun SRK 921 SV ini kelihatan sudah berada dalam keadaan siap sepenuhnya. Menurut laporan di China, gambar yang diambil adalah dari pusat servis QJMotor sendiri sekaligus memberi bayangan bahawa motosikal berkenaan kemungkinan akan dilancarkan tidak lama lagi.
Selain itu, apa yang mencuri perhatian adalah pendekatan ‘neo-retro’ yang diambil yang dibuktikan menerusi pengayaan lampu LED berbentuk bulat mirip mesin MV Agusta. Selain itu, SRK 921 SV ini turut dilengkapi dengan ‘single-sided swingarm’.
Atas kertas, SRK 921 SV ini dipacu enjin empat silinder 921cc yang sama terdapat pada SRK 921 RR yang dipasarkan di China. Platform tersebut (dengan 73mm bore dan 55mm stroke) berupaya menjana 129hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 8,000rpm.
Meskipun data lebih terperinci masih belum diketahui ketika ini namun kami berasakan QJMotor merancang untuk memperkenalkan SRK 921 SV ini di China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA) 2024 yang akan berlangsung di Chonqing, China bulan ini. Ini kerana kami dimaklumkan bahawa QJMotor bakal melancarkan lebih 40 model baharu disitu.