
PROTON MASIH PEGANG STATUS KERETA NASIONAL – TIMBALAN MENTERI MITI
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) masih diberikan status pengeluar kereta nasional oleh kerajaan.
Tambah Liew Chin Tong, ketetapan itu diambil di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dengan kriteria-kriteria ditetapkan sebagai Projek Kereta Nasional boleh dijadikan panduan mengenai status tersebut.
Selain Proton, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) juga adalah syarikat pengeluar kereta nasional yang memberi sumbangan kepada pembangunan ekosistem industri automotif tempatan.

Antara kriteria digariskan adalah majoriti pemilikan tempatan; memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian pembekalan tempatan; menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)tempatan selain menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Berdasarkan status semasa, Proton masih memenuhi kriteria tersebut sebagai contoh, Proton berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, di mana 99 peratus adalah rakyat tempatan.”
Beliau turut menjelaskan bahawa Proton melantik lebih 180 syarikat tempatan Tahap-1 dalam rantaian pembekalan keseluruhannya, dengan nilai purata perolehan tempatan adalah di antara 75 peratus sehingga 80 peratus terutamanya bagi model-model dibangunkan secara tempatan sepenuhnya.
“Proton juga telah menjalankan aktiviti R&D tempatan bagi membolehkan Proton membuat platform, upper body dan enjin sendiri bagi model-model seperti Persona, Iriz, Exora, Saga dan pelbagai model lain sebelum ini,” jelas beliau. – Malay Mail
- BACA: MITI BINCANG DENGAN PROTON DAN PERODUA UNTUK PERCEPATKAN PENGELUARAN EV ‘RAHMAH’
- BACA: PROTON CATAT PERTUMBUHAN JUALAN 162% PADA JANUARI 2023. SAGA PALING LARIS
- BACA: SEGALANYA TENTANG PROTON X90, SUV SEGMEN D 7 TEMPAT DUDUK
- BACA: GEELY DAN RENAULT RANCANG TUBUH SYARIKAT, DIJANGKA BEKAL ENJIN KEPADA PROTON!