Buletin

PROTON PERKENAL X70 EDISI MERDEKA – TERHAD 62 UNIT SAHAJA, HARGA RM126,100 SEUNIT

PROTON melancarkan SUV keluaran terhad pertamanya apabila memperkenalkan Proton X70 Edisi Merdeka (EM) di salah sebuah cawangan pengedarnya, pusat 4S Ming Heng Moto di Setapak. 

Didatangkan secara eksklusif pada model Proton X70 varian premium, sebanyak 62 unit Proton X70 EM ditawarkan pada harga RM126,100 dengan dua warna pilihan iaitu putih atau merah.

Model edisi terhad itu ditawarkan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-62. PROTON mensasarkan untuk menjual model tersebut sepanjang bulan Kemerdekaan (Ogos) dan ia yakin mampu dicapai memandangkan permintaan tinggi terhadap model ini.

Secara mekanikalnya, Proton X70 EM mempunyai ciri-ciri yang sama dengan varian Premium sedia ada. Perbezaan yang dilakukan adalah pada rekaan luar dan beberapa penambahan pada bahagian dalam. 

Pada bahagian luar, bumbung dan bahagian A-pillar telah diwarnakan dengan warna hitam (Quartz Black). Visor pintu turut dipasang di sekeliling kereta bersama plat pelindung (scuff plate) pada bampar belakang.

Bagi melengkapkan sentuhan akhir, lambang atau emblem ‘Merdeka Edition’ dilekatkan pada bahagian belakang.

Di ruang kabin pula, ia dipasang dengan alas kaki baharu, pelapik but belakang dan lambang Edisi Merdeka bernombor khas untuk menjadikan setiap unit model ini unik. Tempat duduk dengan kulit Nappa dan bumbung kaca

serta Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang terdapat pada varian Premium turut dilengkapkan pada model EM.

GALERI

Google ads
Back to top button