Buletin

PROTON RAHMAH 2023 – TAWAR PAKEJ SERVIS BERNILAI RM150 DAN PEMERIKSAAN KESELAMATAN 40 MATA PERCUMA

Proton melancarkan kempen Proton Rahmah 2023 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Kempen baharu itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Proton Rahmah 2023 berlangsung dari 12 April sehingga 31 Mei 2023 dengan menyasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira.

Kempen Proton Rahmah 2023 menggalakkan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah untuk pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.

“Pemilikan kenderaan begitu penting untuk kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia termasuklah perbelanjaan yang berkaitan dengannya, seperti pembayaran balik pinjaman bank, minyak, tol, dan penyelenggaraan adalah komponen utama perbelanjaan isi rumah.

“Dengan pelancaran Kempen Rahmah, pemilik Proton boleh memeriksa kereta mereka secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik, sekali gus meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya.” kata Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, ia menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan selain menyediakan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.

“kami berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan,” katanya.

Google ads
Back to top button