PROTOTAIP VW BEACH BOMB HOT WHEELS BERNILAI RM611K? BIAR BETUL!!!
Penggemar Hot Wheels tentu mengetahui bahawa terdapat beberapa model die-cast kenderaan berkenaan memiliki nilai harga yang tinggi.
Salah satu model tersebut merupakan prototaip Volkswagen Beach Bomb yang merupakan kolaborasi pertama VW dengan Hot Wheels.
Pada awalnya, mock-up model pada skala 1:64 ini direka dengan badan sedikit sempit dan terdapat papan luncur terkeluar dari belakang.
Bagaimanapun, rekaan tersebut diubah semula dengan menukar kedudukan papan luncur dan menambah berat model terbabit.
Model mock-up berkenaan tidak pernah dijual secara rasmi di pasaran dan hanya petugas Hot Wheels sahaja mempunyai akses terhadap kenderaan itu.
Secara tidak rasmi, model mock-up yang hanya terdapat dua unit tersebut memiliki warna merah jambu pernah berpindah tangan.
Model paling rare itu kini dimiliki pengumpul Hot Wheels, Bruce Pascal.
Salah satu daripada dua unit telah dijual pada sahabatnya manakala satu lagi masih tersimpan rapi dalam koleksi 4,000 Hot Wheels dan 3,000 memorabilia miliknya.
“Saya ada mendengar mengenai Beach Bomb dalam warna ungu, hijau, merah, biru dan emas malah ada model tidak berwarna.
“Bagaimanapun, model warna merah jambu agak sukar untuk dicari.
“Kebanyakkan model Hot Wheels disasarkan kepada kanak-kanak lelaki dan jenama tersebut membuat andaian mereka tidak mahu bermain dengan model warna merah jambu,” kata Pascal.
Justeru, dia menambah, terdapat beberapa unit sahaja Beach Bomb yang didatangkan dengan warna merah jambu disasarkan kepada peminat wanita.
Beach Bomb berwarna merah jambu tersebut akan berada dalam muzium simpanan peribadi Pascal di Maryland, Amerika Syarikat (AS) jika tidak dipinjamkan kepada muzium automotif untuk pameran.
Pascal menjelaskan dia menganggarkan model Beach Bomb merah jambu miliknya bernilai kira-kira AS$150,000 (RM611,000) pada hari ini. – carscoops.