Buletin

KISAH VW BULLI ‘SOFIE’ BERUSIA 70 TAHUN, MASIH CUN!

Pada 5 Ogos 1950, generasi pertama van panel T1 berwarna Dove Blue dengan nombor casis 20-1880 melepasi barisan pengeluaran di kilang Volkswagen di Wolfsburg, Jerman.

Van itu dihantar ke Hildesheim, Lower Saxony di utara Jerman dan digunakan sebagai kenderaan pengangkutan barang.

Selepas khidmatnya tidak lagi digunakan, VW Transporter tersebut hilang dari penglihatan selama hampir 20 tahun dan berada dalam simpanan peribadi.

Sehingga pada pada awal 90-an, seorang peminat Bulli kembali menghidupkannya dan ini kisah van legenda yang diberi nama Sofie.

Pada 8 Mac 1950, kilang Volkswagen memulakan produksi penuh Type 2 atau VW Transporter (Type 1 adalah VW Beetle).

Type 2 atau juga dikenali sebagai Bulli adalah kenderaan magis pada era kegemilangan ekonomi dan objek pengangkutan untuk perdagangan.

Van panel Dove Blue ini pula istimewa memandangkan ia adalah Bulli pertama di Hildesheim.

Selama 23 tahun khidmat van tersebut digunakan dan melalui jalan-jalan di Hildesheim sebelum dibersarakan awal apabila syarikat yang memilikinya menjualnya kepada seorang pengumpul.

Dari tahun 1973 hingga 1992, Bulli tersebut beberapa kali berpindah tangan di antara peminat VW.

Pemilik terakhir cuba menjualnya melalui majalah oleh kelab peminat Brezelfenstervereinigung e.V. namun gagal pada percubaan pertama.

Pada masa itu permintaan untuk kenderaan komersial terpakai seperti Bulli tidak berapa hebat.

Selepas beberapa kali diiklankan baru Dane Tonny L perasan mengenainya. Beliau menelefon penjual dan selepas mendapat tahu tentang nombor casis terendah (pada era Bulli masa itu) terus beliau setuju untuk membelinya.

Pada tahun 1992 dengan usia 42 tahun dan jarak pemanduan kurang dari 100,000 km, Bulli tersebut diangkut di belakang lori tunda ke Denmark.

Beberapa komponen van itu dibaik pulih supaya dapat dipandu semula dan diberi nama Sofie sebagai penghormatan kepada T1 pertama dengan nama Sofie yang dihantar ke Denmark bertahun sebelumnya.

Pada awal 2000, Dane Tonny L memulakan proses baik pulih penuh yang menelan belanja besar dan masa yang banyak.

Proses tersebut selesai pada musim bunga 2003 dan diuji pandu ke perjumpaan VW di Bad Camberg.

Ia bukan perjalanan jauh pertama buat Dane Tonny L dan Sofie, beliau menjelajah ke Eropah dengan jarak lebih 20,000 km dan kebiasaannya ke perjumpaan Bulli.

Sofie sentiasa menjadi perhatian dan kerap memenangi hadiah Bulli tercantik malah Sofie juga Bulli yang paling berusia.

Setelah lama berada di dalam pemilikan Dane Tonny L merasakan beliau semakin berusia untuk kerap berada di jalan raya.

Beliau mahu berada di rumah lebih kerap dan memindahkan Sofie kepada pemilik yang pandai menghargainya.

Dane Tonny L bagaimanapun tidak mahu Sofie disimpan tetapi digunakan untuk pemanduan dan pengembaraan dan membawa senyuman kepada seramai mungkin orang.

Dane Tonny L menerima banyak tawaran dari pengumpul namun satu peristiwa menarik berlaku semasa lawatan Putera Mahkota Denmark pada 2014 ketika lawatan ke Volkswagen Commercial Vehicles (VWCV) di Hannover, Jerman.

Pengimport yang mengiringi pada majlis itu secara bersahaja memaklumkan ada sebuah Bulli tahun 1950 di Denmark yang ingin dilepaskan.

Dane Tonny L kemudian dihubungi oleh bahagian VWCV Oldtimer dan teruja dengan cadangan tentang Sofie untuk dijadikan sebagai koleksi VWCV.

Dane Tonny L bersetuju dan memaklumkan keputusannya di atas dasar Sofie akan terus mengukir senyuman kepada orang ramai.

Sofie kemudian dibawa ke Hannover pada lewat tahun 2014 dan telahan Dane Tonny L benar apabila Sofie berjaya membuatkan ramai orang gembira dan mengembalikan kenangan.

Pada usia 70 tahun, Sofie diraikan bersama Bulli lain di dalam koleksi VWCV Oldtimer. Inilah legenda!

BACA: VW GOLF GTE SAMA KUAT DENGAN GOLF GTI!

BACA: NAK DENGAR BUNYI KERETA ELEKTRIK? INI BUNYI VW ID.3

BACA: VW CADDY 2020 – VAN BARANG ATAU MPV? 2-2 PUN BOLEH!

Google ads
Back to top button