Buletin

KABIN HYUNDAI IONIQ 5 BAKAL DAPAT SENTUHAN BATIK INDONESIA

Menteri Syarikat Milik Negara Indonesia (BUMN), Erick Thohir bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Hyundai Motors, Chung Eui-Son di Korea Selatan.

Perkara itu didedahkan menerusi hantaran beliau di Instagram pada 22 Mac lalu.

“Dalam kapasiti saya sebagai Menteri BUMN, kami sedang giat membincangkan pembangunan ekosistem kereta elektrik terutamanya bateri yang turut menjadi tumpuan Hyundai Motors bersama LGES,” tulis Erick di Instagram.

Tambah beliau, perkara lain yang turut dibincangkan ialah kerjasama bersama Hyundai Motors adalah untuk menghasilkan kereta elektrik dengan rekaan dalaman batik.

“Kami ada bercakap mengenai membuat 100 kereta elektrik Hyundai yang dipadankan bersama Batik di bahagian dalaman, mengikut ciri-ciri bangsa Indonesia.

“Ini akan mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara Indonesia-Korea Selatan yang sudahpun menjangkau 50 tahun,” katanya.

Salah satu model kereta dimaksudkan ialah Hyundai Ioniq 5 yang baru-baru ini digunakan pada acara Sidang Kemuncak G20.

Google ads
Back to top button