Buletin

PUSAT UJIAN PROTON TERIMA AKREDITASI ISO/IEC 17025:2017

PROTON baru-baru ini menerima satu lagi pengiktirafan penting dalam perjalanannya untuk membina kenderaan berkualiti tinggi. 

Kemudahan ujian dalaman syarikat yang terletak di Shah Alam, secara kolektif dikenali sebagai Pusat Ujian Proton telah menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia, sebuah jabatan di bawah naungan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sijil akreditasi disampaikan kepada PROTON oleh Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi dan diterima oleh Pengarah Kejuruteraan PROTON, Hazrin Fazail Haroon.

MS ISO/IEC 17025:2017 ialah piawaian yang mengukur kecekapan makmal ujian dan penentukuran. Piawaian ini digunakan oleh makmal ujian dan penentukuran untuk membangunkan sistem pengurusan kualiti, serta menilai kecekapan mereka sendiri. 

Pensijilan terdiri daripada mengukur dan memastikan keputusan ujian memenuhi tahap yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Manakala keperluan dokumentasi untuk mematuhi terdiri daripada manual kualiti, prosedur operasi standard, aliran arahan kerja, dan beberapa kriteria lain.

Memandangkan ISO 17025 ialah pentauliahan standard yang diiktiraf di peringkat global, ia bukan sahaja menjadi bukti kebolehpercayaan keputusan serta integriti, kecekapan dan kualiti keseluruhan Pusat Ujian PROTON. 

Malah, ia juga membolehkan kemudahan itu memenuhi keperluan ujian untuk kenderaan yang dibangunkan bersama dengan Geely. Sekali gus membuka kemungkinan menjalankan ujian untuk model Geely yang lain.

“Akreditasi yang diterima oleh Pusat Ujian Proton adalah pengiktirafan atas kerja yang dijalankan pasukan kejuruteraan dan ujian di PROTON untuk meningkatkan tahap keupayaan teknikal kami supaya sejajar dengan rakan kongsi kami, Geely. Ia juga membolehkan kami mengurangkan kos pembangunan produk kerana tidak perlu lagi menghantar komponen untuk diuji ke luar negara serta membantu menguruskan garis masa pembangunan model dengan lebih baik.

“Ia adalah matlamat kami untuk menerima MS ISO/IEC 17025:2017 sejak Pusat Ujian Proton ditubuhkan. Dengan akreditasi ini, pusat ujian kini memenuhi kedua-dua keperluan kecekapan teknikal dan keperluan sistem pengurusan yang diperlukan untuk menyampaikan keputusan ujian secara konsisten dan penentukuran yang sah secara teknikal. 

“Akhirnya, ini akan menghasilkan kenderaan Proton lebih berkualiti yang akan memberi manfaat kepada pelanggan,” kata Hazrin.

Google ads
Back to top button