Artikel Pilihan

RAJA BOXER – SUBARU: ENJIN FB GENERASI BARU

Kalau anda pembaca mekanika, anda pasti ingat tentang kemajuan enjin yang pernah kami ceritakan menerusi beberapa siri. Sebagai contoh enjin 660cc 3 selinder Honda mampu memecut 440km/j, ia adalah kehebatan kejuruteraan hari ini.

Enjin moden Nissan dengan nisbah mampatan boleh ubah yang sedia diproduksi disifatkan sebagai enjin pembakaran dalaman paling maju dan pertama di dunia. Bayangkan nisbah mampatan enjin boleh berubah, sesuatu yang tak pernah jurutera fikirkan dalam dunia ini.

Namun bagi kereta komersial, banyak enjin moden yang telah mengubah komposisi pasaran. Subaru misalnya, pelopor enjin boxer yang terus kekal menginventasi dan melakukan pembangunan menyeluruh terhadap enjin ini.

Subaru-Impreza-Version-8-STi-mekanika (1)

Bagi peminat Subaru, enjin EJ pastinya tiada tolak bandingan dan kalau boleh, pasti mahukan enjin ni terus dihasilkan sampai bila-bila. Impreza versi 1 – 9 adalah contoh bagaimana enjin ini cukup sukses dalam menempatkan Subaru dalam peta dunia kejuruteraan automotif moden.

Tapi realiti zaman sekarang ialah enjin perlu menepati piawaian pelepasan asap dan mengurangkan penggunaan bahanapi jadi enjin EJ yang hebat itu akhirnya akan digantikan dengan yang baru. Menggantikan enjin yang berstatus lagenda sememangnya agak sukar, lagi-lagi enjin ni cukup sinonim dengan prestasi tinggi dan nada ekzos yang merdu.

Setelah Subaru diambil-alih oleh gergasi permotoran Jepun, Toyota, dana R&D Subaru mendapat suntikan kewangan yang banyak dan dari hasil ni, terlahirlah enjin boxer generasi baru yang dikenali dengan kod FB.

FB – FUTURE BOXER

Enjin ni mula diperkenalkan kepada umum pada 2010 dan kod FB ni membawa maksud “Future Boxer”. Secara umum, Subaru telah memanjangkan lejang enjin dan mengecilkan gerek (berbanding enjin FJ) yang akan membantu mengurangkan pelepasan asap dan mampu menjimatkan penggunaan petrol.

Enjin ni ialah enjin serba baru yang mempunyai kepala silinder dan blok rekaan baru yang jauh berbeza dari enjin siri EJ yang diganti. Kesemua enjin ini menggunakan kepala silinder jenis aci sesondol berkembar (DOHC) dengan sistem AVCS (Active Valve Control System) untuk kedua-dua bahagian kemasukkan dan ekzos.

Paling ketara ialah penggunaan rantai sawat (timing chain) berbanding tali sawat yang bukan sahaja lebih lasak, tetapi membolehkan injap diletak pada sudut yang lebih rapat dan ini membolehkan jurutera Subaru mengecilkan bore silinder.

Istimewanya rekaan enjin ini ialah saiz blok enjin masih sama dengan saiz blok enjin EJ walaupun lejang enjin lebih panjang. Ini mampu dilakukan dengan menggunakan conrod jenis bengkok atau tidak simetri yang unik yang membolehkan enjin mempunyai stroke yang panjang tetapi tidak memerlukan blok enjin dibesarkan.

Buat masa ni, Subaru baru memperkenalkan 3 versi dan mari kita berkenalan dengan enjin-enjin tersebut.

subaru fb20

FB16

Versi terkecil enjin boxer baru ni bersesaran 1600cc. Enjin ini mempunyai bore sebesar 78.8mm dengan stroke sepanjang 82mm. Tahap mampatan enjin ialah 10.5:1 dengan kuasa yang mampu dihasilkan ialah 115ps@5600rpm. Daya kilas enjin pulak ialah 150Nm@4000rpm.

Enjin ni digunakan untuk model Subaru Impreza Sport keluaran 2011 dan Impreza G4 keluaran tahun yang sama.

FB20

Enjin ini ialah enjin pertama FB yang diperkenalkan kepada umum. Kod 20 pada enjin ini bermakna enjin ini mempunyai sesaran 2000cc . Enjin ni mempunyai saiz bore sebesar 84mm dan stroke enjin 90mm. Nisbah mampatan enjin pula ialah 10.5:1 dan ia mempunyai kuasa yang berbeza mengikut jenis kotak gear yang dipadankan.

Jika enjin ini dipadankan dengan kotak gear 4 kelajuan automatik jenis konvensional, enjin ni mampu menghasilkan 148ps@6000rpm dan daya kilas 196Nm@4200rpm. Jika enjin ni dipasang pada kotak gear automatik jenis CVT, kuasa enjin lebih sedikit iaitu pada 150ps@6200rpm dan daya kilasnya masih sama.

Buat masa ini, enjin FB20 belum lagi dihasilkan dengan versi pengecas turbo seperti enjin FJ yang terdahulu, tetapi mungkin model Impreza masa hadapan akan menggunakannya.

Enjin ini digunakan untuk model Subaru Forester keluaran 2010 dan2012 begitu juga untuk model Impreza Sport dan Impreza G4.

fb20 d

FB25

Enjin terbesar untuk versi FB ini mempunyai sesaran 2500cc yang dihasilkan dengan membesarkan saiz bore kepada 94mm tetapi mengekalkan stroke enjin pada 90mm (sama dengan enjin FB20). Nisbah mampatan enjin ialah 10.5:1 Enjin ini mampu menghasilkan 172ps@5800rpm dan daya kilas 236Nm@4100rpm.

Sebagai perbandingan dengan enjin EJ25, enjin ini menghasilkan kuasa yang sama tetapi pada RPM yang lebih rendah dan daya kilas yang lebih tinggi pada RPM yang rendah. Paling ketara, ialah bore dan stroke EJ25 ialah 99.5mmx79mm berbanding 94mmx90mm.

Enjin jenis “square” sememangnya amat baik bagi menghasilkan daya kilas yang lebih lurus (linear) dan cukup sesuai untuk dipadankan pada kenderaan yang akan digunakan untuk mengangkut penumpang dan juga untuk kegunaan off road.

Pengguna enjin ni ialah Subaru Forester (model luar Jepun), Legacy Touring Wagon, Legacy B4, Legacy Outback dan Exige.

Memandangkan enjin FB ini amat baru, kami percaya banyak lagi versi baru yang akan keluar di masa akan datang, terutamanya versi turbo. Eh! Toyota FT86 @ Subaru BRZ tak pakai enjin ni ke? Memang tak. Dia pakai enjin FA, tapi kami cerita di artikel lain nanti.

Google ads
Back to top button