
TOYOTA TUNDRA VS HILUX – PERANG AMERIKA MENENTANG ASIA
Artikel kisah lelaki dapat Toyota Tundra percuma yang disiarkan beberapa bulan lalu mendapat capaian yang tinggi di kalangan pembaca. Kami juga agak terkejut kerana ramai yang tidak tahu kewujudan Toyota Tundra dan ramai yang bertanya kenapa pikap ini tidak dibawa masuk ke Malaysia supaya kita ada pilihan selain Toyota Hilux.
Baiklah, pertamanya Tundra khusus dibina untuk pasaran benua Amerika dan direka di sana. Di Amerika, tradisi bagi automotif ialah tentang saiz. Mereka mahu badan yang paling besar, paling panjang, paling tinggi, paling luas dengan enjin paling besar.
Kerana itu kapasiti enjin 3000cc dianggap kerdil. Mereka bermain dengan angka-angka enjin bentangan V8 4000cc dan sebesar mungkin dan dek sebab itu juga kereta-kereta mewah seperti Bugatti Galibier wujud kerana adanya potensi pasaran di benua tersebut.
Tundra dikuasakan oleh enjin 4.6liter V8 dan 5.7liter V8 petrol. Bayangkan dengan enjin sebesar ini, faktor-faktor seperti kos bahanapi dan cukai jalan boleh membuat anda terbunuh. Cukai jalan untuk enjin 4.6 liter adalah sekitar RM4,200 sementara 5.7 liter ialah RM6,000. Jika dikira kos insuran dan cukai jalan setahun sahaja dah boleh beli Myvi terpakai.
Secara mudahnya, di Amerika saiz standard untuk trak mega mereka digariskan pada model Tundra. Hilux tidak dijual di sana, Ford Ranger tamat pada 2012, cuma Nissan masih menawarkan King Cab Frontier (Navara).
Di Amerika mereka lebih melihat Toyota Tundra, Honda Ridgeline, Nissan Titan dan Ford F-150 sebagai saiz penuh. Membayangkannya, cuba anda lihat lori 3 tan, profil saiznya hampir sama. Boleh bayangkan macamana nak parkir di tempat letak kereta di Plaza Bukit Bintang?
Kali pertama saya melihat Tundra secara berdepan ialah ketika di Jepun beberapa tahun lepas. Kelihatan sangat aneh kerana di Jepun jalanrayanya sempit menyebabkannya nampak seperti sebuah lori berbanding pikap cab berkembar.
Di Jepun sendiri, kereta ini tidak dijual di pusat pameran Toyota. Ia diimport secara paralel seperti model-model Honda Civic coupe, Accord Euro dan Honda LA Great yang dipasang di luar Jepun.
Hilux pula datang dari sebelah dunia yang berbeza. Ia trak saiz sederhana direka untuk pasaran selain benua Amerika. DI Malaysia, Hilux diperkenalkan dengan 2 pilihan enjin 2.4 dan 2.8. Kos cukai jalan hanya RM760 dan RM1,320. Kedua-duanya digerakkan oleh enjin 4 selinder disel secara relatifnya jauh lebih murah kos selenggara.

Ya. Trak-trak Tundra (dan Tocoma) ini sangat bergaya kalau dipandu untuk tujuan urban. Namun melihat pada pasaran yang ada adalah teramat mustahil sekali untuk membawanya untuk pasaran sini. Sama seperti mengharapkan Ford Malaysia membawa masuk Raptor F-150. Ganas, berkuasa tetapi cukai harga meninggal.
Kalau saiz menjadi ukuran sudah tentu negara luar pemanduan sebelah kanan pertama yang akan menerimanya ialah Australia. Di sana, trak pikap (dan utes) adalah budaya. Tetapi ia juga berkenaan cukai jalan duti import yang tinggi.
Jadi, bersyukurlah dengan kewujudan barisan trak yang ada sekarang. Kalau dibandingkan dengan negara jiran, kita mempunyai barisan trak pikap dengan pilihan yang cukup luas. Hampir semua jenama utama ada di sini.