Buletin

RAKYAT PULANG KE TANAH AIR KUARANTIN DI RUMAH BERMULA RABU DEPAN

Rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara perlu menjalani kuarantin di rumah bermula rabu hadapan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka akan menjalani ujian swab sebaik tiba di pintu masuk negara dan individu yang didapati positif akan terus dihantar ke hospital.

Selain itu, katanya, mereka yang negatif akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tetapi perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Mereka diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan akan dipantau melalui aplikasi ini.

“Mereka juga diwajibkan memakai gelang tangan kuarantin(wristband) bagi memudahkan proses identifikasi. Setiap pergerakan mereka akan dipantau melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau menjelaskan individu yang mengingkari arahan kuarantin wajib dan SOP yang ditetapkan akan dikompaun RM 1,000 dan dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, kerajaan mengambil keputusan ini setelah mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 di negara-negara lain yang sudah terkawal dengan lengkung jangkitan yang melandai dan menurun.

Ismail menambah, kerajaan juga telah berjaya meningkatkan keupayaan untuk membuat ujian saringan Covid-19 di pintu-pintu masuk antarabangsa.

Google ads
Back to top button