Buletin

VOLVO XC90 R-DESIGN TAMPIL GARANG DENGAN IMEJ SUV SPORT

Apabila memerhatikan reka bentuk kenderaan Volvo, jarang ia tampil agresif ala BMW atau Audi. Reka bentuk Volvo lebih kepada harmoni, tak lekang masa (timeless) dan berkadaran (proportionate).

Volvo Cars membawa falsafah reka bentuk Sweden yang praktikal dan elegan. Cuma kebelakangan ini Volvo tampil sedikit menonjol melalui lampu hadapan Thor yang dimulakan pada XC90.

Jika mahu lebih bergaya, pengguna ditawarkan dengan varian R-Design yang sedikit sebanyak mengubah penampilan namun masih lagi berpegang kepada konsep elegan.

Selepas beberapa tahun di pasaran Volvo Cars mengumumkan XC90 2020 dengan beberapa perubahan pada penampilan, tambahan kelengkapan dan nadi kuasa untuk pasaran United Kingdom.

Kejutan terbesar datangnya daripada Volvo XC90 R-Design yang tampil agresif dengan bampar depan dan roda corak baharu. Bampar baharu mempunyai liang bertingkat manakala rim berbentuk kipas seperti trend hari ini.

Dari tepi SUV R-Design ini tampil ringkas tanpa garisan krom dan bahagian belakang nampak elegan dan sporti walaupun dengan perubahan minimum.

Bersama R-Design, turut diperkenalkan ialah varian XC90 normal yang turut hadir dengan beberapa perubahan kosmestik. Selain perbezaan bampar, gril XC90 standard berbentuk krom menegak berbanding kotak-kotak kecil hitam pada R-Design.

Turut baharu pada XC90 2020 ialah enjin 2.0 liter diesel dengan padanan mild-hybrid 48 volt. Varian dengan kod B5 itu digerakkan enjin berkuasa 235 hp dengan bateri 48 volt dan teknologi kinetic energy recovery system (KERS) dan penjana penghidup bersepadu (integrated starter generator).

Teknologi ini dapat menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 15 peratus di dalam pemanduan sebenar dan menurunkan tahap emisi NOx berbanding enjin D5 yang digantikan.

Teknologi ini bakal diperkenalkan pada enjin petrol XC90 pada masa akan datang.

XC90 B5 turut didatangkan dengan transmisi automatik yang diperbaharui. Transmisi itu turut menyumbang kepada kecekapan bahan api dan kualiti penukaran gear. Pecutan daripada pegun lebih jitu hasil daripada kapasiti daya kilas lebih besar pada gear rendah.

Model ini juga canggih dengan penggunaan sistem brake-by-wire.

Varian XC90 T8 Twin Engine petrol-electric plug-in hybrid turut dikemaskini dengan kapasiti bateri ditingkatkan kepada 11.8 kilowatt jam daripada 10.4 sebelum ini.

Peningkatan itu menyumbang kepada jarak pemanduan mod elektrik daripada 35 km kepada 46 km.

Volvo XC90 2020 ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu Momentum, R-Design dan Inscription dengan ketiga-tiga boleh dinaik taraf kepada spesifikasi Pro.

Untuk nadikuasa pula, ada empat jenis iaitu B5 diesel mild-hybrid 235hp, T5 petrol 250 hp, T6 petrol 310 hp dan T8 Twin Engine petrol-electric plug-in hybrid berkuasa 390 hp. Setiap XC90 didatangkan dengan transmisi lapan kelajuan automatik dan pacuan kesemua roda.

Harga bermula dari GBP£52,235 (RM265,690) untuk varian XC90 Momentum T5 petrol AWD auto, GBP£56,585 (RM287,816) untuk XC90 R-Design B5 diesel mild-hybrid AWD auto dan paling premium XC90 Inscription Pro T8 Twin Engine petrol-electric hybrid AWD auto berharga GBP£71,945 (RM365,944).

BACA: VOLVO 480 – SEBUAH LAGI MODEL SPORTY YANG KITA PATUT TAHU

BACA: VOLVO 1800ES – WAGON SPORTY ERA ROLLING STONES

BACA: MODIFIKASI RETRO – VOLVO 245 WAGON TURBO

Google ads
Back to top button