Buletin

10 JENTERA BAHARU VOLVO RANAP. JATUH PADA KETINGGIAN 30 METER

Pengeluar kenderaan Sweden, Volvo membuat simulasi pelbagai senario kemalangan ekstrem bagi membantu pasukan penyelamat negara itu lebih cekap menangani bencana itu.

Ia dilihat sebagai ujian paling ekstrem dilakukan Volvo apabila menjatuhkan 10 kenderaan baharu pelbagai model dari ketinggian 30 meter beberapa kali dengan menggunakan bantuan kren.

Mengapa latihan berkenaan dilakukan?

Ia berikutan syarikat terbabit ingin memastikan pasukan penyelamat memperoleh peluang latihan berharga berdepan situasi kemalangan sebenar.

Buat kali pertama, beberapa kenderaan Volvo baharu dilepaskan dari ketinggian 30 meter menggunakan kren dan ia dilakukan berkali-kali.

Kaedah ini membantu dalam memberikan contoh yang bersesuaian bagi melihat impak kerosakan akibat kemalangan paling ekstrem.

Sebelum dijatuhkan, jurutera keselamatan Volvo membuat kiraan sebenar berhubung tekanan dan kekuatan dihadapi setiap kenderaan untuk mencapai tahap kerosakan disasarkan.

Antara contoh senario yang boleh berlaku ialah sebuah kereta terlibat dalam kemalangan pada kelajuan sangat tinggi, kereta melanggar lori pada kelajuan tinggi atau kereta dilanggar dengan teruk dari tepi.

Di dalam keadaan tersebut, mereka terperangkap di dalam kenderaan perlu diselamatkan dalam tempoh satu jam untuk dikejarkan ke hospital.

Kesemua penemuan diperoleh melalui ujian berkenaan akan dikumpulkan dalam laporan secara terperinci  yang boleh digunakan pasukan penyelamat di seluruh dunia.

 “Pada kebiasaannya, kita hanya melakukan ujian di dalam makmal tetapi ini merupakan kali pertama kenderaan dijatuhkan menggunakan kren.

“Kita menyedari terdapat perubahan ketara pada rupa paras kenderaan dengan melakukan penyelidikan ekstrem ini.

“Ia dilakukan untuk memberi cabaran kepada pasukan penyelamat,” kata Penyiasat Kanan Pasukan Penyelidik Kemalangan Lalu Lintas Kenderaan Volvo, Hakan Gustafson. – agensi

Google ads
Back to top button