Buletin

HONDA CIVIC PROTOTAIP 2022 DIDEDAHKAN. REKAAN LEBIH ELEGAN, MINIMALIS

Honda akhirnya mendedahkan secara rasmi prototaip Civic generasi ke-11 sebentar tadi dalam satu acara dalam talian. 

Sedia maklum bahawa Civic merupakan model penting buat Honda dengan 10 generasi telah dikeluarkan sehingga kini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir semua generasi Civic menerima maklum balas positif di semua pasaran yang dimasukinya.

Civic serba baharu didakwa menggunakan platform sama yang digunakan untuk Civic generasi ke-10 atau lebih dikenali sebagai Civic ketam di  Malaysia. Seperti yang dijangka, bahagian luaran dan dalaman mendapat naik taraf yang paling ketara. 

Boleh kata, Civic seakan-akan ingin lari daripada imej sporty yang diketengahkan oleh Civic ketam.

Ia kini lebih elegan dengan rekaan bahagian hadapan baharu yang merangkumi gril radiator dan sepasang lampu utama LED nipis. Di samping kemasan bawah bampar dan perumah lampu kabus berwarna hitam. 

Bahagian belakang berbeza terus dengan ketiadaan lampu sepit ketam. Ia kini digantikan dengan lampu LED nipis yang sekali pandang kelihatan seperti model keluaran Audi.

Penampilan sporty diserlahkan lagi melalui ekzos berkembaer berwarna hitam. Ia kemudian disudahi dengan penggunaan rim lima jejari bersaiz 19 inci yang juga dilayangkan dengan warna hitam. 

Membaca komen netizen, ramai yang beranggapan rekaan luar Civic kelihatan seperti model Accord. Ada yang suka dan tidak kurang juga yang berpandangan sebaliknya. 

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Honda akan menghasilkan Civic dalam dua bentuk gayaan iaitu sedan dan hatchback. Manakala versi coupe dua pintu didakwa tidak lagi diproduksikan. Namun begitu, versi prestasi tinggi, Type-R dengan kotak gear manual dijangka menemui peminat.

Menjengah ke ruang kabin, perubahan yang diberi cukup signifikan. Tiada lagi butang-butang kawalan yang terlalu banyak. Sebaliknya, susun atur papan pemuka kini jauh lebih ringkas dan minimalis.

Diinspirasikan daripada rekaan dalam model elektrik Honda e, ruang atas papan pemuka dipasang dengan skrin infohibur sebesar 9 inci. 

Pemandu turut dihidangkan dengan skrin paparan digital sepenuhnya. Senang cakap, rekaan kabin Civic 2022 ini sangat kemas dan menawarkan lebih ruang untuk keselesaan semua. 

Dari segi keselamatan, Civic pasti dilengkapi dengan sistem tercanggih Honda SENSING dan mungkin sedikit penambahan lain. Kami akan kongsikan perinciannya bila tiba masanya nanti. 

GALERI

Google ads
Back to top button