Artikel Pilihan

REKAAN ENJIN – 3, 4, 6 SILINDER SEBARIS, V, BOXER DAN W

Enjin pembakaran dalam pada masa ini banyak menggunakan susun atur 3 silinder sebaris dan 4 silinder sebaris. Kadang-kadang barulah kita dengar enjin 6 silinder sebaris dalam kereta sport. Jarang-jarang sekali dengar enjin susunan V dibuat kecuali untuk supercar. Subaru dan Porsche buat keras kepala dengan enjin boxer. Chiron pula pakai enjin W. Jadi tak payah sembang lebih, kita tengok rekaan enjin yang masih wujud sekarang.

Enjin 3 silinder sebaris

Pada awalnya enjin ini dibangunkan untuk kategori kereta kompak ataupun kereta kecil dengan sesaran kurang daripada 1000cc. Rekaanya yang kecil dan kompak memudahkan jurutera mereka pakej enjin yang kecil untuk dimuatkan dalam kereta dan ia hanya memerlukan ruang yang kecil untuk dipasang.

Saiz yang kecil menjadikan ia amat menjimatkan petrol. Namun kelemahan enjin ini ialah disebabkan lejang tidak cukup besar, maka tork yang dihasilkan adalah rendah. Jadi jurutera mereka pelbagai inovasi seperti sistem VVT-i, pancitan bahan api, DOHC dan juga turbo bagi menjadikan enjin ini lebih berkuasa.

Dalam satu masa, pergerakan piston adalah tidak harmonik. Terdapat 2 piston bergerak ke atas dan satu piston bergerak ke bawah menjadikan enjin ini bergegar ketika beroperasi. Gegaran yang dihasilkan akan sampai ke ruang pemandu menjadikan badan cepat letih ketika memandu jarak jauh. Gegaran ini juga akan menyebabkan sistem cagak enjin menjadi cepat haus, dan kos penggantian biasanya lebih mahal dari enjin 4 silinder

Sesetengah enjin baru seperti enjin Volvo telah mereka satu mekanisme pengimbang bagi mengawal gegaran ynag dihasilkan oleh pergerakan piston yang tidak harmoni tadi.

Enjin 4 silinder sebaris

Merupakan pilihan yang popular bagi pengeluar kereta selain daripada 3 silinder sebaris. Ia datang dengan sesaran 1000cc bagi enjin petrol sehinggalah 4000cc bagi enjin disel yang digunakan oleh lori. Antara sebab enjin ini disukai ialah selain ia ringkas dan kompak, enjin 4 silinder ini lebih harmoni dari segi gerakan piston semasa beroperasi.

2 piston naik ke atas dan pada masa yang sama 2 piston turun ke bawah membatalkan momen inersia yang terhasil. Diebabkan hanya ada satu kepala silinder sahaja, ia memiliki kurang komponen bergerak berbanding dengan enjin V. Disebabkan ia kurang komponen, ia juga ringan dan memberikan kelebihan dinamik pada kereta. Kosnya juga murah untuk dihasilkan.

Namun kelemahan enjin ini ialah wujudnya momen inersia kedua pada aci engkol yang akan menyebabkan gegaran. Bagi mengatasi masalah ini, syaf pengimbang perlu dipasang pada enjin. Disebabkan masalah ini amat jarang sekali enjin ini memiliki sesaran yang besar.

6 silinder sebaris

Tambah saja 2 lagi piston pada enjin 4 silinder akan menghasilkan enjin 6 silinder sebaris. Toyota, BMW dan Nissan amat gemarkan enjin 6 silinder sebaris ini bagi kegunaan kereta sport mereka. Kuasa akan datang pada setiap 120 darjah dalam pemasaan enjin berbanding 180 darjah bagi enjin 4 silinder. Ini menjadikan penghantaran kuasa amat lancar.

Sama seperti enjin 4 silider sebaris, enjin ini rekaanya ringkas, senang dibina dan kos pembinaan enjin menjadi murah. Namun disebabkan saiz enjin bertambah panjang, agak sukar untuk menyusun enjin ini dalam orientasi melintang. Jadi agak susah untuk melihat enjin ini pada pacuan hadapan

Biasanya enjin ini dipasang untuk kereta pacuan belakang di mana enjin akan disusun secara menegak. Disebabkan enjin ini panjang ke belakang, maka ketegaran enjin akan berkurang. BMW menggunakan enjin 6 silinder sebaris INI dalam Z4 dan juga Supra namun dengan rekaan closed deck.

V Enjin

Bila sebut enjin susunan V, anda boleh bayangkan piston akan disusun dalam bentuk huruf V dalam sudut tertentu dari 30 darjah sehinggalah 120 darjah. Ia merupakan enjin 6, 8, 10 atau 12 silinder yang dibahagi kepada 2 blok enjin. Satu blok enjin akan ada 3, 4 atau 6 silinder yang akan bersambung pada bahagian aci engkol.

Rekaan sebegini akan menjadikan enjin semakin kompak dan memiliki ketegaran yang tinggi disebabkan enjin menjadi semakin pendek. Proses penghantaran kuasa menjadi semakin lancar berbanding dengan enjin yang disusun secara sebaris. Pergerakan gas ekzos yang dikeluarkan semasa beroperasi menghasilkan bunyi yang padu ketika idle dan nyaring ketika memecut.

Tapi anda kena ingat, disebabkan enjin ini ada 2 blok maka kepala silinder akan menjadi dua, aci sesondol akan menjadi 4 (DOHC) berbanding dengan 2 serta beberapa komponen lain akan menyebabkan enjin ini menjadi semakin kompleks. Manifold ekzos enjin akan menjadi 2 seterusnya akan menyebabkan enjin ini bertambah berat

Semakin banyak komponen bergerak, semakin tinggi geseran dalaman yang dihasilkan oleh enjin. Apabila semakin kompleks, kos pembinaan dan kos penyelenggaraan enjin akan bertambah. Semakin banyak komponen bergerak, semakin tinggi momen inersia yang dihasilkan oleh enjin yang seterusnya menyebabkan gegaran. Jadi sesetengah enjin V6 memerlukan aci pengimbang untuk menghapuskan geseran

Enjin Boxer

Ia boleh wujud dalam konfigurasi 4 silinder atau 6 silinder dan memiliki 2 blok enjin yang berasingan. Sesetengah pakar automotif menggelarkan enjin ini sebagai enjin V dengan sudut 180 darjah iaitu mendatar. Kesemua piston akan disambungkan pada satu aci engkol. Berbeza dengan enjin 4 atau 6 silinder sebaris disusun secara menegak, enjin ini akan disusun secara horizontal

Disebabkan itu, enjin ini sangat seimbang dari segi momen inertia yang pertama dimana pergerakan piston sebelah kiri akan diseimbangkan pada bahagian kanan. Momen inersia kedua yang wujud pada aci engkol pula adalah minima menjadikan daya yang hilang semakin berkurang dan enjin menjadi semakin cekap tenaga.

Enjin ini akan dipasang pada bahagian bawah cesi menjadikan ia sangat stabil dan mempengaruhi dinamik pengendalian ketika mengambil selekoh. Namun ia menjadi sangat lebar sehingga mengganggu pakejing enjin seperti yang kami ulas di SINI. Jadi enjin boxer 6 silinder biasanya akan dipasang pada bahagian belakang seperti Porsche.

Sama seperti enjin susunan V, terdapat 2 blok enjin dengan 2 kepala silinder menjadikan rekaan ini rumit pada bahagian valvetrain. Disebabkan enjin lebar, adalah agak susah untuk mekanik melakukan kerja-kerja penyelenggaraan

W Enjin

W enjin ini jarang sangat kita dengar, tapi enjin ini memang wujud. Ia menggabungkan 3 atau 4 blok enjin pada aci engkol. Sebagai contoh enjin Buggati Veyron dan enjin Buggati Chiron. Enjin tersebut merupakan enjin 16 silinder dengan 4 blok enjin pada satu aci engkol. Pada asalnya enjin ini merupakan 2 enjin V8 yang digabungkan.

Bayangkan enjin 16 piston 8000cc dengan 4 turbo yang menghasilkan 1479 kuasa kuda dan 1600Nm tork. Ia menjadi enjin yang sangat kompleks namun pada masa yang sama enjin ini lebih pendek berbanding dengan enjin V. Ini membolehkan jurutera memasang enjin ini rapat ke pusat graviti dengan mudah.

Kelemahan enjin ini ialah ia akan menjadi lebar dan lebih kompleks berbanding dengan enjin V. Dengan saiz enjin serta berat yang besar, ia hanya sesuai dipasang di tengah cesi dalam konfigurasi MR bagi agar berat enjin dibahagikan sama rata pada semua tayar.

Google ads
Back to top button