Buletin

REMAJA 15 TAHUN KANTOI PANDU TRITON. BAWA MEMBER BERSIAR-SIAR

Tiga pelajar sekolah menengah dikompaun RM3,000 setiap seorang selepas didapati bersiar-siar dengan memandu dan menaiki Mitsubishi Triton.

Pemandu berusia 15 tahun dan dua rakannya masing-masing berusia 15 dan 16 tahun dikesan melakukan kesalahan itu selepas cuba mengelak daripada melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bukit Baru-Duyong pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sepasukan anggota SJR berjaya mengesan kenderaan tersebut apabila bertindak mencurigakan dengan membuat pusingan U ketika menghampiri sekatan.

Katanya, sepasukan anggota kemudian mengejar pikap trak pacuan empat roda (4X4) itu sejauh 15 kilometer sehingga remaja berkenaan memberhentikan kenderaan dan cuba melarikan diri di Kampung Balik Bukit, Bukit Larang.

“Kesemua suspek cuba melarikan diri di kawasan kampung berkenaan, namun berjaya diberkas.

“Hasil soal siasat ketiga-tiga mereka merupakan pelajar sekolah menengah dan pemandu hanya berusia 15 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, remaja yang memandu mendakwa kereta tersebut merupakan milik bapa saudaranya dan keluar membawa dua rakannya untuk bersiar-siar.

“Susulan tangkapan itu kita telah memanggil pemilik kenderaan dan dimaklumkan bahawa dia tidak mengetahui serta menyedari ia telah dibawa oleh anak saudaranya itu.

“Difahamkan anak saudaranya itu tinggal bersamanya di Kampung Balik Bukit,” katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga remaja berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 setiap seorang di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.2) 2021 kerana keluar rumah tanpa alasan yang munasabah.

Katanya, remaja itu juga direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –K! ONLINE

Google ads
Back to top button