
RUNAWAY TRUCKS RAMP, PERANGKAP PASIR YANG MENGHENTIKAN LORI KONTENA
Sekiranya anda pernah melalui jalan berbukit yang curam, anda akan perasan tentang satu laluan kecemasan di tepi jalan raya atau lebuhraya yang permukaannya dipernuhi dengan batu batu kerikil yang kecil
Biasanya laluan kecemasan ini dibina berhampiran laluan menuruni bukit yang curam dengan bahagian hujung laluan dibuat semakin tinggi dengan tujuan untuk menghentikan kenderaan berat yang mengalami kegagalan brek ketika menuruni bukit
Lori kontena atau kenderaan berat dengan muatan yang berat sangat berisiko tinggi untuk mengalami masalah kegagalan brek ketika menuruni jalan berbukit. Berat kenderaan ini akan menyebabkan brek terpaksa bekerja keras, sehingga suhu yang tinggi menjejaskan prestasi brek
Apabila brek telah gagal, jalan yang selamat ialah halakan kenderaan anda ke arah lorong kecemasan ini dan kenderaan akan dihentikan apabila ia melalui permukaan jalan dengan batu kerikil.
Malah ciri permukaan yang semakin tinggi di bahagian hujung akan memastikan kenderaan anda berhenti akibat efek graviti. Lorong dengan permukaan batu kerikil ini menjadi pilihan utama kebanyakan operator lebuh raya di Malaysia disebabkan ia tidak memerlukan penyelenggaraan

Idea penggunaan lorong kecemasan ini mula timbul pada tahun 1960an di kawasan pergunungan di mana punca kemalangan ialah kegagalan brek kenderaan berat. Rekaan lorong kecemasan, bahan untuk digunakan pada permukaan lorong dan cara pembinaan adalah bergantung pada lokaliti di kawasan yang digunakan
Jika laluan tersebut dijangka menyebabkan lori memecut sehingga 100km/jam ketika menuruni bukit, maka rekaan lorong kecemasan ini mestilah berupaya menghasilkan kuasa brek sehingga 3000 kuasa kuda
Bergantung pada ketinggian kenderaan, kerosakan yang berlaku pada kenderaan jika menggunakan lorong kecemasan ini adalah minima dan terhad pada radiator serta komponen yang dipasang di bahagian bawah seperti sirip penyejuk penyaman udara
Lorong kecemasan ini boleh dihasilkan dengan menggunakan batu – batu kerikil, menggunakan pasir bagi tujuan brek yang lebih cepat, menggunakan penahan mekanikal (banyak digunakan di luar negara) atau lorong kecemasan yang direka dengan kaedah graviti dan memerlukan pendakian.


