Artikel Pilihan

SAKSIKAN BAGAIMANA MERCEDES MENGUJI SISTEM ABS PADA BAS DAN LORI SATU MASA DAHULU

Pada bulan Ogos 1978 Mercedes-Benz telah memperkenalkan sistem ABS generasi kedua yang dibangunkan bersama Bosch kepada pihak media di Untertürkheim. Ia merupakan sistem pertama seumpamanya di dunia yang membolehkan pemandu mengawal stereng walaupun sewaktu brek kecemasan. Ia boleh didapati seawal Disember tahun yang sama dan mula dilengkapkan pada S-Class (116 Series) pada masa itu.

Hasil pembangunan sedekad

Sistem brek anti-kunci ini sebenarnya sudah menjadi salah satu ciri idaman para jurutera automotif selama hampir sedekad. Tambahan pula fungsinya yang membolehkan pemandu megawal kenderaan sewaktu brek kecemasan memang cukup penting. Malah seawal tahun 1929, jurutera Jerman Karl Wessel telah pun menghasilkan paten yang seakan-akan sama dan dinamakan Braking Force Regulator. Tapi sayangnya rekaan beliau hanya setakat di atas kertas sahaja.

Anti-lock Regulator diuji pertama kali pad atahun 1941 tetapi kejayaan yang dicapai tidaklah begitu memberangsangkan. Tapi berdasarkan ujian pertama itulah hala tuju sistem ABS berjaya ditetapkan. Sistem ini mesti mesti dilengkapkan dengan sensor pada kedua tayar depan untuk mengkur kelajuan, selain unit kawalan yang berfungsi merekod dan membandingkan data yang diperolehi oleh sensor-sensor tadi. Unit kawalan juga akan mengawal daya agihan ke mana-mana sistem agar brek tidak terkunci.

Tapi bila kesemua idea tadi diuji di atas permukaan jalan sebenar ternyata ianya tidaklah semudah teori. Sensor tersebut berfungsi dengan baik pada sistem ABS untuk pesawat terbang tahun 1952 dan sistem Knorr untuk keretapi pada tahun 1954.

Tapi pada sebuah kereta ia memerlukan sensor yang mampu mengesan geseran mekanikal yang lebih tinggi. Ia mesti mampu mengesan kelajuan pecutan dan menurun baik sewaktu membelok mahupun ketika permukaan jalan berbonggol-bonggol. Ia juga mesti berkesan dalam keadaan berlumpur dan menahan haba yang tinggi.

Sistem induksi diperkenalkan

Masalah itu kemudiannya berjaya diatasi oleh jurutera Daimler-Benz bersama dengan TELDIX Gmbh di Heidelberg. Kedua syarikat memilih solusi lain daripada sensor mekanikal dan mereka menemuinya.  Pada tahun 1967 mereka memperkenalkan sistem baru untuk mengesan kelajuan dan ia bebas sentuhan kerana berfungsi dengan cara induksi. Isyarat dinilai oleh unit elektronik yang kemudiannya mengawal tekanan brek mengguakan injap-injap solenoid.

BACA: 6 SEBAB YANG MEMBUATKAN ANDA MAHU BREK ABS PADA MOTOSIKAL SEKARANG JUGA

Ketika itu pun sistem elektronik kebanyakannya masih bergantung kepada teknologi analog dan terdedah kepada kegagalan berfungsi tapi sistem memberikan harapan kepada sistem ABS. Daimler-benz kemudian memperkenalkan sistem ini kepada kereta, trak dan bas buat pertama kali pada tahun 1970 di hadapan wakil media dari seluruh dunia. Prinsip ini terbukti lebih meyakinkan.

Pembangunan ABS

Hanya selepas beberapa tahun barulah prototaip baru ABS berjaya dihasilkan sebaik teknologi berkembang maju hasil dari revolusi elektronik. Contohnya penghasilan litar bersepadu bersaiz kecil, komputer yang lebih tahan lasak yang mampu menyimpan data kelajuan dengan pantas dan dengan cekap mengawal injap untuk mengaktifkan tekanan brek.

Bosch mengambil masa hampir 4 tahun untuk menghasilkan unit kawalan digital untuk Untertürkheim bagi tujuan ujian. Ia juga bermakna sistem ini kelak berfungsi dengan kegagalan sifar. Sistem ini mampu memproses data dalam masa milisaat dan bukan hanya tayar hadapan tapi tayar belakang juga boleh dilengkapkan dengan sensor.

1978: Produksi ABS pertama di dunia

Inilah tahun yang menyaksikan Mercedes-Benz menjadi pengeluar sistem ABS pertama di dunia dengan ABS generasi kedua dilengkapkan pada S-Class dengan kos tambahan untuk pemasangan. Selepas tahun 1984, ABS sudah menjadi sistem standard untuk kereta-kereta Mercedes-Benz dan sepuluh tahun kemudian hampir sejuta kereta Benz bergerak dengan sistem ini di seluruh dunia.

Mercedes-Benz turut memperkenalkan sistem ABS untuk kenderaan komersil malah mereka turut mrembangunkan sistem brek tekanan udara untuk digandingkan dengan ABS. Ia merupakan hasil kerjasama dengan Wabco. Sistem ini kemudian menjadi peralatan standard kepada semua bas ekspress keluaran mereka sejak tahun 1987 dan semua trak keluaran Mercedes-Benz mejelang 1991.

Asas kepada inovasi

Pembangunan ABS tidak pernah berhenti sehingga kini. Ia menjadi lebih maju, kecil, lebih berkesan dan lebih lasak.  Malah gegaran pada pedal brek sewaktu ABS diaktifkan juga sudah mampu dihilangkan. Kereta-kereta moden juga boleh dikawal dengan lebih baik apatah lagi bila sistem ini digandingkan dengan ASR, ESP dan Brake Assist.

Jika sebahagian besar kenderaan di seluruh dunia hari ini sudahpun dilengkapi dengan sistem ABS tidak mengira jenama ia sebenarnya adalah hasil komitmen dan penat lelah jurutera-jurutera Daimler-Benz dengan sekutu mereka seperti Bosch, TELDIX dan Wabco. Mereka telah berjaya menghasilkan sistem yang mampu meningkatkan keselamatan, mengelakkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa.

Saksikan pautan video bagaimana sistem ABS diuji di peringkat awal pada trak dan bas oleh Mercedes-Benz.

Google ads
Back to top button