Buletin

SAKSIKAN VIDEO SUV TERLAJU DI DUNIA – LAND SPEED CRUISER 370 KM/J

Land Cruiser merupakan sebuah SUV ikonik keluaran Toyota yang mampu bergerak ke mana sahaja dengan menggunakan sistem 4WD. Ia juga telah memenangi pelbagai anugerah sejak dilahirkan 60 tahun dahulu. Kini , Land Cruiser boleh berbangga kerana ia juga memegang gelaran SUV terlaju di dunia dengan rekod kelajuan 370 km/j. Ia dicatatkan di California menggunakan Land Speed Cruiser custom yang mempunyai 2,000 hp.

Dikemudikan oleh bekas pemandu Nascar Toyota, Carl Edwards, Land Speed Cruiser ini berjaya menidakkan rekod terdahulu dengan kelebihan 30 km/j. Malah catatan rekod yang disahkan dengan alat GPS itu merekodkan kelajuan tertinggi 370 km/j telah berjaya dicapai sebelum landasan yang digunakan sebagai medan ujian itu sampai ke penghujung. Jika diberikan tapak yang lebih panjang, tidak mustahil kelajuan lebih tinggi berjaya dicatatkan.

Toyota Land Speed Cruiser ini diperkenalkan buat pertama kali di Pameran SEMA 2016 dan memulakan hayat sebagai sebuah SUV standard sebelum diubahsuai secara menyeluruh oleh sepasukan jurutera dari Toyota Motorsports Technical Center (MTC).

Rekod SUV paling laju sebelum ini ialah 340 km/j. Itu sudah cukup laju dan membuatkan Toyota terfikir, apa salahnya mereka turut menghasilkan sebuah Land Cruiser yang cukup berkuasa dan lihat selaju mana ia mampu pergi. Demikian kata pengurus MTC, Chuck Wade.

BACA: TOYOTA LAND CRUISER 70 SERIES 2017

Mereka menggunakan Land Cruiser dengan enjin 5.7-liter 3UR-FE V8 untuk projek ini. kemudian sepasang pengecas turbo Garrett bersaiz bola tampar digunakan. Pengecas turbo ini berupaya menghasilkan boost setinggi 55 psi. Untuk memastikan enjin ini tidak berkecai dengan kuasa yang tinggi hasil penggunaan pengecas turbo baru, mereka turut menaik taraf komponen-komponen lain seperti, piston, con rod dan manifold yang telah diubahsuai. Ini bagi memastikan enjin V8 gergasi itu boleh menghasilkan kuasa yang melebihi 2,000 hp dengan selamat. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear perlumbaan yang mampu menahan bebanan serta asakan kuasa pada kelajuan yang cukup tinggi.

Sebenarnya, proses naik taraf enjin merupakan bahagian yang paling mudah dalam cubaan menghasilkan SUV paling laju ini. Bahagian yang paling sukar ialah memastikan kenderaan sebesar ini mampu dikawal dengan baik pada kelajuan melebihi 200 km/j. Land Speed Cruiser ini direndahkan untuk mengurangkan arus angin di bahagian bawah yang mewujudkan rintangan sewaktu memecut laju. Malah casisnya juga diuahsuai sedikit untuk mendapatkan sudut geometri suspensi yang optima, ia kemudian dilebarkan lagi bagi membolehkan penggunaan tayar-tayar Michelin Pilot Duper Sport.

Pemandu penguji yang juga seorang pelumba Nascar, Craig Stanton memainkan peranan penting dalam melaraskan tetapan suspensi di Toyota Arizona Proving Ground (TAPG). Hasil usaha beliau kemudian digunakan oleh para jurutera MTC sebagai panduan. Kini ia bukan sahaja lebih laju dengan tukaran gear yang lancar tapi ia juga cukup stabil pada kelajuan tinggi.

Bila semua sudah siap, Land Speed Cruiser kini bersedia untuk mencipta rekod baru kelajuan SUV. Pelumba Nascar Toyota yang baharu bersara, Carl Edwards dipanggil dan bertemu dengan semua kru di Pangkalan Udara Mojave, California. Ia merupakan lokasi yang paling sesuai untuk menguji kelajuan Land Speed Cruiser ini kerana ia mempunyai landasan sepanjang lebih 4 kilometer dan merupakan salah satu lokasi di AS yang membenarkan penerbangan supersonic dilakukan.

Pada cubaan pertama, Edward berjaya mencatat kelajuan maksima 340 km/j sebelum kehabisan landasan untuk memperlahankan SUV gergasi itu. Mereka menaikkan lagi angka boost untuk cubaan seterusnya.

Cubaan kedua berjaya dan kelajuan tertinggi direkodkan ialah 370 km/j yang menobatkan Land Cruiser ini sebagai SUV terlaju di dunia. Senyuman di wajah semua kru jelas melambangkan kepuasan selepas hasil usaha mereka mencapai kejayaan.

Google ads
Back to top button