Buletin

SEBABKAN TIGA KEMATIAN, PEMANDU PREVE SERAH DIRI

Pemandu Proton Preve yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan tiga penunggang dan pembonceng motosikal maut di Sitiawan kelmarin, menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 38 tahun itu menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Manjung pada pukul 2.50 petang.

“Saringan air kencing lelaki itu didapati positif dadah jenis methampetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini. Sehubungan itu, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman esok bagi membolehkan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nor Omar menjelaskan, lelaki itu juga disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan dengan kemalangan tersebut.

Dalam kejadian di Kilometer 4 Jalan Sitiawan – Kampung Acheh kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin, sebuah kereta Proton Preve dinaiki tiga orang dari Lekir menghala ke Kampung Acheh terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam motosikal ditunggang dan dibonceng pekerja kilang dari arah Kampung Acheh menuju ke Sitiawan.

Tiga daripada mangsa yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian, tiga orang lagi dirawat di HSM, seorang dirawat di Hospital Pantai Manjung, manakala seorang lagi yang cedera dibenarkan keluar dari HSM.

Berikutan kejadian itu, polis menahan penumpang kereta itu, lelaki berusia 24 tahun di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu. – UTUSAN ONLINE

Google ads
Back to top button