Buletin

SELANGOR DIJANGKA MASUK FASA 2 PPN SEPTEMBER INI

Selangor dijangka memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada September ini, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di beberapa daerah di Selangor adalah inisiatif bagi mengurangkan jumlah harian jangkitan Covid-19.

Menurutnya, PKPD yang dilaksanakan bertujuan menyelamatkan kesihatan rakyat dan keberkesanannya tidak boleh diukur dalam masa sesingkat tiga atau empat hari.

Katanya, mengikut pengalaman di Selangor kadar penurunan kes berlaku selepas tiga minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan sebelum ini.

“Bagi mencapai PPN fasa dua ini kita perlu meningkatkan jumlah vaksinasi harian penduduk dan kita menjangkakan menjelang minggu depan sebanyak 10 peratus golongan dewasa sudah menerima vaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, Kerajaan Selangor tidak boleh menutup operasi kilang sepenuhnya kerana keputusan ini tertakluk dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut beliau, penutupan penuh kilang hanya boleh diputuskan MKN dan Kerajaan Selangor hanya boleh mengarahkan penutupan premis yang beroperasi bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Selangor juga sudah mengadakan perbincangan semalam dan mengesyorkan kepada MKN supaya mempertimbangkan untuk hanya membenarkan sektor yang perlu sahaja beroperasi di dalam kawasan PKPD.

“Cadangan itu adalah mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang sudah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD.

“Kami berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan dan Kerajaan Selangor melihat matlamat pelaksanaan PKPD ini iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara, masih belum dicapai,” katanya. –HM

Google ads
Back to top button