
SHANGHAI AUTO SHOW 2025: LEAPMOTOR PERTARUH BARISAN PENUH DAN MODEL BAHARU B01
Leapmotor mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam industri kenderaan elektrik (EV) global apabila mempamerkan keseluruhan barisan model terbaharunya di Auto Shanghai 2025.
Acara ini turut menjadi pentas pelancaran global bagi Leapmotor B01, sedan segmen C yang menggabungkan teknologi pintar dengan harga mampu milik.
Model B01 tampil sebagai pelengkap kepada B10 yang sudah pun menggemparkan pasaran apabila meraih lebih 31,000 tempahan dalam tempoh 48 jam selepas dibuka untuk pra-jualan.

Kedua-dua model merupakan sebahagian daripada siri B baharu yang dibina atas platform LEAP 3.5 – teknologi termaju Leapmotor yang menjanjikan prestasi pintar, keselamatan tinggi, serta pengalaman pemanduan mengasyikkan dengan jarak mencecah 600km.
Antara kelebihan utama B10 termasuk cip pemproses Qualcomm 8155, sistem keselamatan aktif dengan kawalan kestabilan tayar pancit, serta sokongan kemas kini perisian secara OTA.
Selain itu, versi tertinggi turut dilengkapi lidar dan sistem dual-chip untuk pengalaman pemanduan separa automasi.

Leapmotor turut mempamerkan pelbagai model lain termasuk T03, C10, C11 dan C16 yang ditawarkan dalam versi elektrik penuh dan jarak lanjutan.
Model T03 yang sudah dijual di Eropah kini dinobatkan sebagai EV paling efisien dari segi kos operasi dengan hanya €0.82 (RM4.18)/km.
Dalam perkembangan lain, Leapmotor kini aktif meluaskan sayap ke pasaran antarabangsa menerusi Leapmotor International, syarikat usahasama dengan Stellantis yang ditubuhkan pada Mei 2024.

Setakat April 2025, Leapmotor sudah memasuki 23 pasaran global termasuk Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik, dengan lebih 550 pusat jualan dan servis beroperasi.
Model B10 dijangka dilancarkan secara rasmi di Eropah pada suku keempat tahun ini, diikuti oleh B05.
Bukan itu sahaja, Leapmotor turut merancang memperkenalkan sekurang-kurangnya satu model baharu setiap tahun bagi mengukuhkan kehadirannya di peringkat global.
- BACA: LG ENERGY SOLUTION KEJUTKAN INDONESIA, TARIK DIRI DARI PROJEK BATERI EV RM42.26 BILION!
- BACA: NORTHPORT JADI PELABUHAN PERTAMA MENGGUNAKAN PROTON E.MAS 7 SEBAGAI KERETA RONDAAN
- BACA: VOLVO EX90 MENANG WORLD LUXURY CAR OF THE YEAR 2024
- BACA: JENTERA SPORT DENGAN NADI HONDA DARI NEGARA GAJAH PUTIH – TYPE R TOM YAM