
NORTHPORT JADI PELABUHAN PERTAMA MENGGUNAKAN PROTON E.MAS 7 SEBAGAI KERETA RONDAAN
Northport (Malaysia) Bhd mencatat satu pencapaian baharu dalam usaha memperkukuh kelestarian apabila menjadi pelabuhan pertama di negara ini yang menggunakan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan rondaan rasmi pasukan polis bantuan.
Tiga unit kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya itu diserahkan oleh PRO-NET (Proton New Energy Technology Sdn Bhd) kepada Northport sebagai sebahagian daripada inisiatif bersama ke arah operasi yang lebih hijau dan cekap tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, penggunaan e.MAS 7 oleh Northport membuktikan bahawa teknologi kenderaan elektrik kini sudah bersedia untuk digunakan dalam operasi sebenar.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan mobiliti lestari di Malaysia,” katanya.
Proton e.MAS 7 menawarkan pemanduan senyap dan bebas pelepasan karbon, selain dilengkapi teknologi pengecasan pantas serta sistem pengurusan tenaga yang cekap.
Dengan jumlah komponen bergerak yang lebih rendah berbanding kenderaan konvensional, ia turut membantu mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin berkata, pelabuhan itu sentiasa berusaha memperkenalkan pendekatan yang mesra alam dalam setiap aspek operasinya.
“Sebagai sebuah pelabuhan yang berbangga dengan identiti Malaysia, pemilihan jenama PROTON turut mencerminkan sokongan kami terhadap inovasi tempatan dan pembangunan industri negara,” katanya.
Langkah ini bukan sahaja menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon negara, malah meletakkan Northport sebagai peneraju dalam penggunaan kenderaan elektrik dalam sektor logistik dan pelabuhan.
Ia juga menjadi contoh kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain untuk memperkenalkan mobiliti hijau dalam operasi harian.