Buletin

SIME DARBY MOTORS CITY FASILITI AUTOMOTIF TERBESAR DI ASIA TENGGARA

Sime Darby Motors melancarkan fasiliti automotif, Pusat Automotif Sime Darby (Sime Darby Motors City) yang terbesar di Asia Tenggara.

Kompleks automotif yang dengan luas keseluruhan 1.3 juta kaki persegi menempatkan bangunan lapan tingkat dibangunkan di atas tapak seluas 8.6 ekar terletak di Ara Damansara.

Projek menelan kos kira-kira RM570 juta itu, merangkumi enam pusat jualan utama yang menampilkan sepuluh jenama utama di Malaysia diwakili Sime Darby Motors.

Jenama-jenama berkenaan merupakan BMW, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, MINI, Motorrad, Porsche dan Volvo.

Ia juga mempunyai fasiliti di dalam bangunan yang mampu menyimpan hampir100 unit kenderaan terpakai, khusus untuk Sime Darby Auto Selection.

Fasiliti terbesar di Asia Tenggara itu menyepadukan teknologi terkini bagi mempertingkatkan pengalaman para pelanggan di segenap ruang yang mampu memuatkan hampir 200 petak servis, 700 petak parkir untuk pelanggan dan petak mengecas kenderaan elektrik (EV) serta berupaya mempamerkan lebih 180 unit kenderaan.

Selain itu, terdapat kira-kira 60 juruteknik Auto Bavaria untuk BMW, MINI dan Motorrad dan lebih daripada 110 juruteknik bertauliah secara keseluruhan yang menabur bakti di fasiliti terbaharu terbabit.

Mereka termasuk juruteknik-juruteknik yang mempunyai kelayakan tertinggi daripada jenama terkemuka termasuk Zertifizierter Porsche Techniker Gold Certification malah kelayakan itu diselaraskan untuk para juruteknik Porsche seluruh dunia. 

Jenama seperti Ford, Hyundai, Jaguar dan Land Rover juga mempunyai pensijilannya dan kelayakan latihan tertinggi dikenali sebagai Master Technicians.

Dalam pada itu, Pusat Automotif Sime Darby itu merupakan fasiliti automotif pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Internet Benda (IoT).

Ia mampu meningkatkan keupayaan servis dan menggalakkan peningkatan Sime Darby Motors dengan menambah kecekapan dalam memberikan khidmat terbaik kepada para pelanggan.

Antara teknologi canggih itu termasuk sistem Pengurusan Pengesanan Kenderaan, Kamera Pengecaman Nombor Plat Automatik dan sistem kod QR apabila membuat temujanji di ruang pameran.

Pusat Automotif Sime Darby turut dibangunkan untuk masa hadapan dilengkapi juruteknikEV terlatih dan berkelayakan.

Ia menempatkan ruang khusus bagi mengecas EV, penyimpanan dan penyelenggaraan disediakan di Auto Bavaria, Auto Hyundai, Auto Performance dan Swedish Auto.

Bangunan fasiliti terbahru itu, dibangunkan dengan kelayakan Building Index (GBI) untuk kelestarian persekitaran dan menggabungkan teknologi untuk memupuk budaya tanpa kertas dalam organisasi.

Pusat Automotif Sime Darby juga mengalu-alukan rakan perniagaan daripada kolaborasi mobility seperti SOCAR, iaitu rangkaian perkongsian kereta utama Malaysia, dan myTukar, platform perniagaan kenderaan terpakai secara dalam talian yang kian meningkat di Malaysia.

Kompleks ini akan menyediakan kawasan parkir bagi kenderaan SOCAR – sesuai bagi para pelanggan menghantar kenderaan mereka untuk servis, dan akan ada juga pusat pameran bagi kenderaan tukar-beli myTukar, kolaborasi bersama Sime Darby Auto Selection.

Sempena pelancaran, Pusat Automotif Sime Darby menganjurkan Pelancaran Hujung Minggu Mega (Grand Launch Weekend) yang akan berlangsung bermula 16 April hingga 18 April 2021 di enam ruang pameran utama.

Untuk maklumat lanjut tentang Sime Darby Motors, boleh melayari www.simedarbymotors.com.

Google ads
Back to top button