Buletin

SIME DARBY MOTORS JAMIN PELANGGAN BYD DI MALAYSIA: ‘RECALL’ TERHAD KEPADA PASARAN CHINA

Sime Darby Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, telah mengeluarkan kenyataan untuk meyakinkan pelanggan bahawa model BYD yang dijual di Malaysia tidak terjejas oleh pengumuman panggilan semula baru-baru ini oleh BYD Auto di China.

Pengumuman panggilan semula dikeluarkan oleh BYD hanya melibatkan model Dolphin dan Yuan Plus yang dihasilkan dan dijual di pasaran China antara November 2022 hingga Disember 2023.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh pengawal selia pasaran China, State Administration for Market Regulation (SAMR), unit kawalan stereng dalam kenderaan terlibat mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan risiko kebakaran.

Namun, Sime Darby Motors menegaskan bahawa panggilan semula ini hanya melibatkan pasaran dalam China dan tidak mempengaruhi kenderaan yang telah dieksport atau dijual di luar negara, termasuk Malaysia.

Sime Darby Motors turut menambah bahawa mereka sentiasa memantau perkembangan terkini dan berkerjasama rapat dengan BYD untuk memastikan keselamatan serta kualiti kenderaan yang dijual kepada pelanggan di Malaysia.

Pelanggan di Malaysia diingatkan bahawa kenderaan yang mereka beli dihasilkan mengikut spesifikasi berbeza daripada model dijual di China, dan langkah-langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan kualiti produk yang terbaik.

Pelanggan BYD di Malaysia boleh meneruskan penggunaan kenderaan mereka tanpa kebimbangan, kerana model yang dijual di sini tidak terlibat dalam panggilan semula ini.

Sime Darby Motors juga bersedia membantu pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut mengenai perkara ini, dan mereka digalakkan untuk menghubungi pusat perkhidmatan terdekat bagi sebarang pertanyaan.

Dengan pengumuman ini, Sime Darby Motors berusaha memastikan pelanggan terus yakin terhadap jenama BYD dan komitmen mereka dalam menawarkan kenderaan yang selamat dan berkualiti tinggi di Malaysia.

Google ads
Back to top button