Artikel Pilihan

SKYACTIV-D, REVOLUSI DIESEL UNTUK DUNIA LEBIH BERSIH

Kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar memang menjadi perkara pokok dalam semua perkara sekarang ini. Oleh sebab itu jugalah Mazda telah mengeluarkan enjin diesel generasi baru yang dinamakan SKYACTIV-D.

Ia merupakan enjin diesel dengan nisbah mampatan paling rendah di dunia, bersih dan cukup efisyen dan dikatakan mematuhi  undang-undang keluaran gas ekzos di serata dunia tanpa bantuan sistem pembersihan NOx (nitrogen oxides) yang mahal.

BACA – KUASA PENJIMATAN MAZDA6 & CX-5 DIESEL

BACA – SKYACTIV, REVOLUSI ENJIN ABAD BARU

Ciri-ciri SKYACTIV-D

  • 20 peratus penjimatan bahan api berikutan nisbah mampatan yang rendah (14.0:1).
  • Pengecas turbo dwi-tahap baru yang memberikan tindak balas yang lancar dan sekata pada semua kelajuan enjin selain peningkatan tork dari awal hingga akhir (sehingga had 5,200 rpm).
  • Patuh regulasi keluaran gas ekzos global (Euro6 di Eropah dan regulasi yang sama di Jepun) tanpa sistem pembersihan NOx yang mahal.

PUNCA NOX DAN ENAPAN KARBON

Enjin diesel biasanya mempunyai nisbah mampatan yang tinggi. Sekali gus meningkatkan suhu mampatan dan tekanan pada piston menjadi cukup tinggi.

Jika bahan api disuntik masuk dalam keadaan ini, pembakaran akan berlaku sebelum udara dan bahan api bercampur pada tahap yang sesuai. Proses ini akan menyebabkan pembakaran berlaku tanpa oksigen yang mencukupi, seterusnya menghasilkan NOx dan enapan karbon.

Ini akan menjejaskan keluaran bahan bakar dan melanggar piawaian pengeluaran gas ekzos yang sangat ketat. Tambahan pula, NOx memerlukan tabung pengubah yang sesuai untuk merawatnya sebelum dilepaskan keluar melalui ekzos.

Kos untuk tabung pengubah itu pun boleh tahan mahalnya.

skyactiv-d_03

PROSES PEMBAKARAN OPTIMA DENGAN NISBAH MAMPATAN RENDAH

Apabila nisbah mampatan berjaya dikurangkan, suhu dan tekanan mampatan dapat diminimumkan. Masa pembakaran juga berjaya dipanjangkan bagi membolehkan campuran bahan api dan udara yang ideal.

Ini seterusnya akan mengurangkan keluaran NOx dan enapan karbon yang biasa berlaku akibat tekanan terlalu tinggi dan kekurangan oksigen sewaktu pembakaran.

Ketepatan masa pembakaran dan campuran bahan api dan udara yang sesuai menjadikan SKYACTIV-D sebuah enjin diesel yang sangat efisyen berbanding enjin diesel dengan nisbah mampatan tinggi sebelum ini.

Mazda-SKYACTIV-D-mekanika (8)

PENGURANGAN BERAT DAN GESERAN MEKANIKAL

Disebabkan oleh nisbah mampatan yang rendah, tekanan pembakaran di dalam silinder SKYACTIV-D adalah lebih rendah berbanding enjin diesel konvensional. Ini memberikan satu kelebihan untuk pengurangan berat secara optima pada struktur enjin.

Sebagai contoh, blok-blok silinder enjin ini juga boleh ditukar kepada aluminium yang lebih ringan. Sekali gus dapat mengurangkan berat sebanyak 25 kilogram berbanding enjin diesel biasa.

Bahagian kepala selinder pula 3kg lebih ringan dan bahagian dindingnya lebih nipis. Untuk bahagian lain seperti omboh, pengurangan berat direkodkan pada 25 peratus berbanding enjin diesel lain. Pengurangan ini membolehkan geseran mekanikal dikurangkan sehingga menyamai tahap geseran enjin petrol.

Tetapi ada masalah lain yang akan timbul apabila tekanan dan suhu mampatan dikurangkan. Apabila tekanan dan suhu mampatan terlalu rendah, enjin akan sukar dihidupkan ketika cuaca sejuk. Satu lagi masalah adalah pembakaran tidak sekata (misfiring) kerana tekanan dan suhu yang terlalu rendah.

INI JALAN PENYELESAIANNYA

skyactiv-d-ekzol-vvl
Sistem VVL pada injap ekzos
  • Penggunaan injektor piezo pelbagai lubang yang boleh menghasilkan suntikan dengan corak pelbagai. Injektor berspesifikasi tinggi ini mampu mengawal masa dan suntikan dengan ketepatan yang tinggi dan mampu membuat 9 suntikan bagi setiap pembakaran. Selain mengawal suntikan ketika enjin masih dalam keadaan sejuk, ia juga berfungsi mengawal suntikan berdasarkan keadaan pemanduan. Tiada lagi masalah enjin sukar dihidupkan ketika sejuk dengan penggunaan sistem suntikan baru ini. Ia kemudian digabungkan dengan palam pencucuh berteknologi ceramic glow.
  • Pembakaran tidak sempurna sewaktu operasi dalam keadaan sejuk berjaya diatasi dengan penggunaan sistem VVL (variable valve lift) pada bahagian injap ekzos. Satu kitaran pembakaran sudah memadai untuk memanaskan suhu gas ekzos. Menggunakan sistem ini, injap ekzos akan dibuka sedikit bagi menghalakan gas ekzos yang panas ke dalam silinder untuk menaikkan suhu udara. Ini menaikkan suhu mampatan dan menstabilkan pembakaran.

PENGECAS TURBO DWI-TAHAP

skyactiv-d-turbo

Rasanya anda semua sudah tahu bahawa pengecas turbo akan menaikkan tork enjin. Tetapi pada masa yang sama ia tidak membantu dari segi pengurangan gas ekzos dan ekonomi bahan api.

Bagaimanapun, SKYACTIV-D menggunakan pengecas turbo dwi-tahap, di mana unit pengecas turbo yang kecil dan besar akan bertindak secara bergilir-gilir mengikut keadaan pemanduan.

BACA – MODIFIKASI MAZDA INTERPLAY

BACA – MAZDA BG, HERO KLASIK MAZDA3 MPS

Teknologi ini membekalkan tork yang terbaik ketika kelajuan perlahan. Di samping puncak kuasa yang diperlukan ketika dalam kelajuan tinggi. Malah kesan sinergi antara nisbah mampatan rendah dan masa pembakaran yang optima akan mengurangkan pembentukan NOx dan enapan karbon kerana bekalan oksigen yang mencukupi berjaya dikekalkan.

SKYACTIV-D UNTUK MALAYSIA

Bagi pasaran Malaysia, Mazda telah memperkenalkan dua model dengan teknologi SKYACTIV-D iaitu Mazda6 dan Mazda CX-5 dengan enjin SKYACTIV-D 2.2-liter.

Penjimatan bahan api memang tidak perlu diperkatakan lagi begitu juga dengan tork enjin yang jauh mengatasi enjin petrol berkapasiti yang sama. Masalahnya cuma satu iaitu bekalan diesel yang berkualiti tinggi (Euro 5) yang masih belum menyeluruh ke seluruh negara.

Syukurlah sekarang sudah banyak syarikat minyak yang memasarkan diesel dengan piawaian Euro 5. Jika tidak, pastinya teknologi sebegini akan dipandang sepi akibat kekangan kebolehdapatan diesel berkualiti.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button