Buletin

SONY DAN HONDA JALIN KERJASAMA HASILKAN EV. MAHU JUAL SEAWAL 2025 

Pada acara CES 2020, Sony mengejutkan semua apabila memperkenalkan sebuah sedan elektrik yang menarik, Vision-S. Vision-S 02 kemudian hadir dalam acara sama di Las Vegas tahun ini.

Dalam acara CES 2022 Januari lalu, divisyen Sony Mobility dilapor akan meneroka pasaran kereta elektrik. Kini, ia sudah pun mempunyai rakan kerjasama iaitu Honda. Kedua-dua syarikat gergasi Jepun itu dikatakan bersetuju untuk membentuk satu kerjasama dalam usaha membangun dan menjual kereta elektrik (EV). 

Syarikat kerjasama tersebut dijangka dutubuhkan sebelum akhir tahun ini. Sekiranya semua perancangan berjalan seperti yang sepatutnya EV pertama dijadual dapat dijual pada tahun 2025. 

Honda akan bertanggungjawab untuk menghasilkan EV berkenaan di kilangnya dan menggunakan platform yang dibangunkan oleh Sony. Masih terlalu awal untuk menyatakan produk pertama itu ialah sedan Vision S atau sebuah SUV. 

Harus tahu bahawa pembangunan Vision S turut melibatkan pihak-pihak lain seperti Magna Steyr, Bosch, ZF, Continental, Nvidia dan Qualcomm.

Jentera itu didatangkan dengan pacuan semua roda dan dilengkapi dua unit motor elektrik berkuasa 536hp. Sedan tersebut mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 4.8 saat dengan pecutan maksimum 240km/j. 

Jika sedan boleh memuatkan empat orang penumpang, SUV pula dikatakan dapat membawa sehingga tujuh orang. Tiada sebarang perincian diberikan kecuali ia akan menggunakan pek bateri ultra nipis pada bahagian lantar untuk memaksimumkan ruang kabin. 

Platform EV itu juga tidak terhad kepada sedan dan SUV sahaja, malah boleh digunakan untuk membina MPV dan sebagainya. 

Jika benar, perkembangan ini pasti memberi tamparan hebat kepada Apple yang sudah bertahun-tahun cuba untuk mencari rakan kerjasama. 

GALERI

Google ads
Back to top button