Buletin

SPARE PARTS ON WHEELS – SEDIAKAN ALAT GANTI KEPADA PESERTA TOYOTA VIOS CHALLENGE

Perlumbaan kereta dengan risiko pelanggaran memang tidak boleh dipisahkan. Jika jentera lumba terlibat dalam kemalangan, pasukan perlu membaikinya dalam tempoh yang paling singkat.

Untuk memastikan kereta lumba boleh kembali ke litar, kebolehdapatan alat ganti sememangnya sangat kritikal.

Bagi peserta Toyota Vios Challenge, mereka tidak perlu bimbang kerana masalah itu diselesaikan oleh pihak UMW Toyota Motor dan Wing Hin Motorsports yang bertindak sebagai penganjur bersama Toyota Vios Challenge.

Spare Parts on Wheels diperkenalkan untuk menyediakan apa jua alat ganti yang diperlukan oleh semua pasukan.

Semua alat ganti itu diangkut menggunakan sebuah trak kontena bersaiz 40 kaki yang diparkir di kawasan paddock.

Peserta perlumbaan tidak semestinya membeli alat ganti daripada Spare Parts on Wheels. Mereka boleh mendapatkan alat ganti dari mana-masa sumber selagi ia tulen.

“Atas sebab keselamatan, hanya alat ganti tulen Toyota boleh digunakan pada jentera lumba. Kehadiran kontena ini adalah sebahagian daripada perkhidmatan nilai tambah kepada peserta yang memerlukan komponen dalam masa singkat.

“Kami juga menawarkan alat ganti ini pada harga lebih murah berbanding di pusat servis sah Toyota,” kata Pengara Wing Hin Motorsports, William Loh.

Menurut Loh, alat ganti yang paling biasa dibeli ialah panel badan, bampar hadapan, belakang, rim dan tayar.  

Stok alat ganti yang lengkap melibatkan skru, enjin dan transmisi baru yang ada di dalam trak itu dianggarkan bernilai hampir RM500,000.  

Google ads
Back to top button