Artikel Pilihan

SUBARU EXIGA – MPV KE WAGON NI?

Brader Karrager agak yakin bahawasanya ramai diantara kita yang cukup mengenali Honda Odyssey di era RB1 – RB4 mahupun Honda Stream. Sebuah wagon yang cuba menyamar menjadi MPV.

Pemanduan rendah serupa kereta sedan tapi praktikal menyamai sebuah MPV. Subaru juga suatu ketika dahulu pernah mengeluarkan model yang hampir serupa, Exiga nama diberi.

Subaru Exiga ini mula berada di pasaran pada tahun 2008 yang sepatutnya dijual untuk pasaran Jepun sahaja. Namun NEGARA Australia beruntung kerana merupakan negara pertama yang dieksport keluar model Exiga ini.

Rekaannya asas yang menyerupai sebuah Wagon, memudahkan sang perekanya untuk menampilkan rekaan yang lebih menarik berbanding rekaan sebuah MPV sebenar yang mempunyai pillar yang lebih tinggi.

Cuma Exiga ini kalau diperhatikan, tidak terlalu menampilkan rekaan yang agresif. Umum juga mengetahui rekaan Subaru juga sememangnya begitu. Tapi bukanlah ianya tidak menarik.

Paling penting Exiga ini sudah tentulah bahagian dalamannya. Ruangnya kelihatan luas walaupun Exiga ini tidak mempunyai ketinggian yang sepatutnya bagi sebuah MPV. Terima kasih kepada panel bumbung panorama. Apatah lagi konfigurasi tempat duduk barisan ketiga yang ditinggikan sedikit berbanding di hadapan. Tempat duduk jenis theater orang kata.

Pilihan enjin yang ditawarkan pula meliputi 2.0 NA dan juga 2.0 Turbo bagi varian tertinggi. Sebut pasal enjin Subaru, rasanya tidak perlu diulas panjang tentang betapa syoknya enjin Boxer ini. Derumannya mengasyikkan. Apatah lagi melihatkan lubang hidung yang jelas kelihatan atas hud hadapan. Semua orang tahu betapa lajunya kenderaan dua alam ini.

Pendek cerita, prestasi Exiga ini sebagai sebuah mobiliti keluarga sememangnya cemerlang dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Sekiranya ada yang bertanya mengapa kelibat Exiga ini macam tak pernah tengok aja di jalanraya kita usah khuatir. Brader Karrager pun pernah melihatnya sekali sahaja tidak lama dahulu.

Di Singapura, ianya dibawa masuk secara sah oleh Motor Image. Kita? Mujur juga grey importer ada membawa masuk sedikit. Naza pun ada juga. Tapi tak banyaklah. Kira rare lah sebenarnya Exiga ni kan?

Cumanya sayang sebab Exiga ini tidak lagi mempunyai waris berikutnya. Model wagon terkini yang ada dalam katalog pun Levorg. Tiada lagi model kompak tujuh tempat duduk. Benda boleh jadi Wagon, nak buat MPV kan?

BACA : ODYSSEY JALANAN

BACA : SUBARU IMPREZA CASA BLANCA – SEBUAH KISAH KLASIK UNTUK MASA DEPAN

Tags
Google ads
Back to top button