Buletin

SUBARU XV DAN SUBARU XV GT EDITION 2022 MASUK PASARAN MALAYSIA. TEKNOLOGI EYESIGHT,HARGA BERMULA RM139,788

TC Subaru Sdn. Bhd. memperkenalkan model XV berwajah baharu dan XV GT Edition 2022 untuk pasaran negara.

Subaru XV 2022 tersebut ditawarkan dalam dua varian iaitu Subaru XV 2.0i-P Eyesight dan Subaru XV 2.0i-P Eyesight GT Edition dan dijual pada harga bermula:-

  • Subaru XV 2.0i-P Eyesight (RM139,788)
  • Subaru XV 2.0i-P Eyesight GT Edition (RM146,788)

Kedua varian mendapat enam pilihan warna iaitu hitam (Crystal Black Silica), kelabu (Magnetite Grey Metallic dan Cool Grey Khaki), perak (Ice Silver Metallic), biru (Dark Blue Pearl) dan putih (Pure White).

Model Subaru XV terbaharu itu dilengkapi teknologi terkini Eyesight Advanced Driver Assist dan beberapa ciri-ciri menarik lain dalam memberi kesempurnaan kepada jentera berkenaan.

Selain itu, ia didatangkan empat teknologi teras Subaru Core yang menyumbang kepada pengendalian lebih sempurna, keselesaan optimum dan mempertingkatkan aspek keselamatan untuk pemandu serta penumpang.

Ia adalah seperti:-

  • Teknologi Eyesight Advanced Driver Assist
  • Symmetrical All-Wheel Drive
  • Boxer Engine
  • Subaru Global Platform

Teknologi Advanced Driver Assist menggunakan sepasang kamera stereo untuk pengecaman imej dan beroperasi seakan mata manusia.

Ia dilengkapi enam fungsi seperti Pembrekan Pra Pelanggaran, Pengurusan Terotal Pra Pelanggaran, Kawalan Kruise Adaptif, Amaran Mula Kenderaan Utama, Amaran Keluar Lorong dan Amaran Lencong Kiri Kanan Lorong.

Dari segi rekaan luaran, jentera berkenaan mendapat sentuhan baharu termasuk bampar dan gril hadapan serta rim 17 inci direka semula dalam menyerlahkan sisi agresif model dipertingkatkan itu.

Begitupun, varian GT Edition yang dibangunkan Masahiko “Jack” Kobayashi bersama syarikat kejuruteraan, Giken Co. Ltd.  kelihatan lebih sporty.

Ruang dalaman pula, ia hadir dengan tempat duduk baharu boleh laras bersama lapan cara dipadankan fungsi memori untuk memberi posisi pemanduan terbaik kepada pemandu.

SUV terbaharu berkenaan mendapat khidmat trenkuasa petrol 4-silinder DOHC Boxer 1,995cc dengan sistem pancitan bahan api yang mampu menjana kuasa 153.8hp pada 6,000rpm dan tork 196Nm @ 4,000rpm dipadankan sistem transmisi manual Lineartronic CVT 7-kelajuan.

Model XV terbaharu itu turut dilengkapi sistem X Mode bagi membolehkan pemandu memilih dua tetapan untuk dua pemanduan berlainan iaitu Salji/Debu dan Salji Tebal/Lumpur.

Ia menjadi pelengkap sistem pacuan AWD Simetri, membolehkan pemandu meredah jalan yang kurang digunakan orang ramai, berlumpur dan pemanduan adventure.

SI-Drive pula merupakan sistem pengurusan prestasi trenkuasa dengan tiga pilihan Sport dan Intelligent (Pintar).

Mode Sport mengubah terotal untuk lebih prestasi, membolehkan SUV lebih responsif dan bertenaga serta-merta dengan kelebihan pecutan manakala mode Intelligent memastikan pecutan lebih lancar untuk penjimatan bahan api.

Naib Pengerusi dan Pengarah Urusan Tan Chong International Limited, Glenn Tan menyatakan model XV menggunakan 40 peratus komponen tempatan sebagai versi CKD dan dipasang di Malaysia.

Katanya, pihaknya meramalkan unjuran jualan sebanyak 3,000 unit Subaru XV dan Forester untuk tahun depan yang akan dibantu dengan sentimen pasaran lebih baik.

Untuk tempahan dan keterangan lanjut boleh mengunjungi bilik-bilik pameran di seluruh negara.

Google ads
Back to top button