Buletin

SUZUKI PERKENAL SWACE KE PASARAN EROPAH. VERSI REBADGE TOYOTA COROLLA WAGON

Suzuki dilihat bersedia untuk memperkenalkan model keduanya ke pasaran Eropah menerusi jentera yang dibekalkan oleh Toyota. Sedia maklum bahawa kedua-dua buah syarikat itu telah menandatangani perjanjian kerjasama pada tahun lepas.

Selepas Across melakukan debut pada Julai lalu, Suzuki kini melancarkan pula Swace yang merupakan versi rebadged Toyota Corolla Wagon. Secara visualnya, kedua-dua model itu adalah 99 peratus sama.

Perbezaan kecil hanya pada bahagian hadapan di mana gril atas lebih nipis dan bampar menerima rekaan baharu. Wagon berkenaan akan ditawarkan dalam tujuh warna seperti putih mutiara, biru, coklat, hitam, tembaga dan perak.  

Sebagai sebuah wagon, ia mampu menawarkan ruang kargo seluas 596 liter apabila semua kerusi digunakan. Pastinya, ruang itu akan bertambah sebaik sahaja kerusi dilipat rata.

Swace menggunakan khidmat enjin 1.8 liter berkuasa 96hp yang disokong oleh motor elektrik yang menjana sekitar 71hp. Toyota memberitahu gabungan enjin dan motor elektrik itu dapat menghasilkan sekitar 120hp.

Pemandu boleh memilih mode pemanduan sama ada Normal, Sport, Eco dan EV, bergantung kepada kesesuaian.

Swace dikatakan berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa 11.1 saat dengan emisi kurang 100 gram bagi setiap kilometer.

Jualan di pasaran Eropah dijadual bermula pada suku keempat tahun ini.

GALERI

Google ads
Back to top button