
TAHUKAH ANDA? KLIP FORD INI DIBUAT DARIPADA JARING IKAN
Sana-sini orang bercakap tentang kenderaan dengan teknologi elektrifikasi. Matlamat utama ialah untuk menjaga alam sekitar.
Selain menggunakan kenderaan sebegitu satu lagi cara untuk menjaga alam sekitar ialah dengan kitar semula.
Sebagai contoh banyak komponen di dalam kereta boleh dibuat daripada bahan terbuang dan diproses semula untuk diguna kembali.
Satu daripada syarikat yang aktif dalam penggunaan komponen kitar semula adalah Ford dengan yang terbaru klip pendawaian Ford Bronco Sport dibuat dari jaring ikan yang hanyut di lautan.
Produk seperti cermin mata, kasut atau t-shirt sebenarnya sudah pun menggunakan plastik kitar semula yang dijumpai di laut.
Seperkara menarik, Ford memaklumkan bahawa mereka adalah pembuat kereta pertama yang menggunakan 100 peratus plastik kitar semula dari lautan untuk menghasilkan bahagian automotif.
Jika diikutkan, apa lah sangat klip yang kecil tetapi sebenarnya adalah satu usaha besar ke arah penjagaan alam sekitar.
Menurut sebuah badan bukan kerajaan Pew Charitable Trusts dari Amerika Syarikat, sehingga 13 juta tan metrik plastik memasuki laut setiap tahun. Bukan setakat mencemar, ianya juga membahayakan hidupan laut!
Turut menyumbang dengan banyak ialah industri perikanan sendiri yang menggunakan jaring perikanan plastik dan peralatan lain.
Barang tersebut digunakan sebab murah, tahan lasak, ringan dan sifat keapungannya.
Dari situ muncul jaring atau pukat hanyut dan sebagainya yang menjejaskan kehidupan di lautan.
Istilah yang digunakan ialah ghost gear dan merangkumi hampir 10 peratus dari plastik di lautan yang boleh menjerut ikan, anjing laut, penyu dan juga burung!
Macam mana burung pun boleh kena? Burung makan ikan di laut, tersalah makan dapat plastik!
Bagaimana klip yang kecil dari plastik kitar semula? Berikut caranya:
- Dibuat dari ghost gear, plastik yang dijumpai di lautan.
- Kekuatan dan ketahanan bahan nilon tersebut sama seperti perkakasan baru yang dibuat berasaskan petroleum.
- 10 peratus lebih jimat dan kurang tenaga diperlukan untuk menghasilkannya.
- Berat klip pendawaian tersebut hanya lima gram.
- Digunakan pada sisi kerusi barisan kedua untuk meletakkan kabel yang menguasakan beg udara sisi.
- Walaupun terdedah kepada cahaya matahari dan air masin, bahan tersebut kuat dan tahan seperti klip yang berasaskan petroleum. Ford sendiri telah mengujinya.
Proses kitar semula
- Plastik yang digunakan diambil dari Lautan India dan Arab oleh syarikat DSM Engineering Materials.
- Plastik dari jaring ikan nilon dibasuh dengan air masin, dikeringkan dan dijadikan palet kecil.
- Syarikat pembekal Ford iaitu HellermannTyton menggunakan kaedah acuan suntikan untuk menukarnya kepada bentuk klip.
Seperti yang dikatakan tadi, saiz klip tersebut memang kecil tetapi langkah pertama Ford dalam menghasilkan komponen lain yang diperbuat dari plastik kitar semula dari laut.
Di antara komponen di dalam perancangan Ford ialah braket transmisi, rel tepi lantai, dan pelindung wayar yang kesemuanya komponen tidak bergerak dan sesuai dari segi kekuatan dan ketahanan plastik tersebut.
Selain plastik dari laut, Ford telah lama dan lebih daripada dua dekad menggunakan plastik kitar semula bagi menghasilkan komponen kenderaan.
Contoh terdekat apabila Ford menggunakan botol kitar semula bagi menghasilkan pelindung bawah Ford Escape 2020.