Buletin

TERLALU LARIS, FERRARI MUNGKIN MAHU TUTUP PRA-TEMPAHAN PUROSANGUE

Ini bukan sahaja SUV pertama dari Ferrari, malah kereta pertama dengan empat-pintu. Lebih nenarik lagi, pintu itu dikendalikan secara elektrik bagi mendedahkan kabin mewah yang direka untuk empat orang.

Ferrari Purosangue menawarkan harga asas dalam lingkungan AS$400,000 (RM1.8 juta). Tetapi itu tidak menghalang individu untuk mendapatkan SUV tersebut. Berikutan permintaan yang sangat menggalakkan, Ferrari dilapor mungkin merancang untuk menutup pesanan.

Kenapa Purosangue sangat menarik perhatian? Jawapannya mudah. Kerana ia memiliki enjin V12 yang terlalu berkuasa untuk diketepikan begitu sahaja.

Ketua Pegawai Komersil dan Pemasaran Ferrari, Enrico Galliera pada sesi pra-tonton media di Maranello pada 8 September lalu memberitahu permintaan terhadap Purosangue meletup apabila berita SUV baharu itu akan mempunyai enjin V12 tersebar.

“Kami mungkin tidak dapat memenuhi permintaan dan tidak mustahil terpaksa tidak mengambil pesanan tidak lama lagi,” kata Galliera.

Galliera tidak berkongsi sebarang angka atau anggaran jumlah pra-pesanan yang telah dibuat kepada media. Namun apa yang pasti, walaupun dengan penyelidikan pasaran yang meluas, minat terhadap ketibaan jentera berkuasa 715 kuasa kuda itu jauh melebihi jangkaan asal Ferrari.

Ferrari juga berpegang pada janji bahawa Purosangue akan menjadi model yang eksklusif.

Biarpun Porsche telah menjana kekayaan daripada Cayenne dan Aston Martin, Bentley serta Lamborghini membuat keuntungan besar daripada SUV masing-masing, Ferrari bukanlah pembuat kereta biasa.

Kapasiti semasa Ferrari berada pada kira-kira 15,000 unit kenderaan setahun. Secara purata, ia membolehkan pengeluaran Purosangue hanya sekitar 3,000 unit setahun. Jika diambil kira empat ke lima tahun pengeluaran, dianggarkan 12,000-15,000 Purosangues akan dihasilkan.

Sudah tentu, Ferrari boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran yang khas untuk Purosangue dan menjadi jalan mudah untuk mengaut keuntungan, tetapi Ferrari bukanlah syarikat seperti itu.

Semestinya Ferrari mahu konsisten dengan DNA mereka iaitu untuk kekal eksklusif. Justeru, mengawal permintaan dan tawaran adalah sesuatu yang harus dilakukan demi menjaga identiti mereka.

Google ads
"
"
Back to top button