Buletin

SHOWROOM E-SKUTER TERBAKAR DI INDIA. 8 TERBUNUH, JENAMA MASIH DIRAHSIAKAN

Kebakaran sebuah bilik pameran skuter elektrik di India telah membunuh lapan orang, manakala 11 lagi mengalami kecederaan. Kebakaran tersebut berlaku di sebuah pengedar di bandar selatan Secunderabad. Siasatan awal menunjukkan kebakaran mungkin disebabkan oleh sel bateri atau modul bateri yang rosak.

Bilik pameran pengedar skuter elektrik itu terletak di ruang bawah tanah hotel di bandar itu dan menempatkan kira-kira dua dozen skuter elektrik. Kebakaran disedari setelah hotel diselubungi asap yang menjadi punca kematian.

Polis dan bomba menggunakan kren dan peralatan lain untuk menyelamatkan tetamu hotel yang terkandas. Menurut polis, kebanyakan mangsa ialah mereka yang tinggal di tingkat satu dan dua.

Perdana Menteri India, Narendra Modi bersimpati dengan kejadian tersebut. Beliau turut berjanji memberikan pampasan bagi mangsa yang terkorban. Namun begitu, nama peniaga dan jenama skuter terlibat dalam kebakaran itu masih belum dikongsi pihak berkuasa.

Kebakaran tersebut adalah yang terbaru dalam rentetan kebakaran e-skuter di India setakat tahun ini. Insiden itu telah membimbangkan penggubal undang-undang di India yang memerlukan penyelesaian mobiliti elektrik dalam memerangi pencemaran di bandar-bandar besar.

Awal tahun ini, insiden kebakaran memaksa pembuat dasar untuk melakukan siasatan ke atas e-skuter atas faktor keselamatan.

Google ads
Back to top button