Pandu Uji

PANDU UJI: FERRARI 296 GTB. INI RUPANYA RASA LENJAN KERETA KAYANGAN DI LITAR SEPANG

Walaupun sudah banyak kali menghadiri acara pelancaran model Ferrari, namun saya belum pernah memandu uji supercar idaman ramai itu.

Jadi, apabila mendapat jemputan daripada pihak Ferrari Malaysia, pastinya ia bukan satu peluang yang harus disiap-siakan, biarpun rasa gementar tetap ada kerana perlu memandu uji kereta yang berharga lebih RM1.2 juta di Litar Antarabangsa Sepang. 

Sesi pandu uji yang dikenali sebagai Esperienza Ferrari 296 GTB yang berlangsung hampir seminggu itu bukan sahaja melibatkan media tempatan, malah media pemotoran dan gaya hidup dari negara jiran turut dijemput.

Sebelum sesi bermula kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mendengar penerangan ringkas mengenai Ferrari 296 GTB. Kami juga diberi taklimat mengenai apa yang perlu dilakukan dan harus dielakkan apabila memegang stereng jentera hebat berkenaan. 

Terlebih dahulu, ada baiknya jika kita mendalami serba sedikit mengenai Ferrari 296 GTB yang merupakan evolusi terkini model dua tempat duduk dengan konfigurasi mid-engine berlinetta itu. Ia mula diperkenalkan pada 28 Mac lalu dan sudahpun boleh ditempah oleh peminatnya di Malaysia. 

Ferrari 296 GTB menjadi model pertama yang dipasang dengan enjin V6 turbo bersesaran 2.9 liter dan motor elektrik. Ya, anda tidak salah baca. Ini ialah sebuah model plug-in hybrid yang boleh bergerak menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya (mode eDrive) sejauh 25km dengan sekali caj. 

Rangkaian kuasa tersebut mampu menjana 818hp dan tork 740Nm, yang membolehkannya memecut dari 0-100 dalam masa hanya 2.9 saat dengan top speed mencecah 330km/j.  

Jentera itu juga menandakan masa untuk enjin bersesaran besar seperti V12, V10 atau V8 kini semakin suntuk, akibat penguatkuasaan piawaian emisi yang kian ketat terutama di pasaran Eropah. 

Dari segi rekaan luaran, 296 GTB masih tipikal sebuah Ferrari yang seksi dan menggiurkan. Ia sebenarnya menggabungkan elemen rekaan model-model Ferrari seperti 250 LM, SF90 dan LaFerrari. Bahagian hadapan diserlahkan menerusi sepasang lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang nipis. 

Penampilannya juga nampak lebih garang dengan beberapa corong pengambilan  udara besar yang ada pada bahagian bawah lampu DRL bampar. Kalau ada perasan, ada satu komponen yang nampak sedikit pelik pada bahagian bawah gril radiator. Dikenali sebagai “tea tray”, ia berfungsi meningkatkan kuasa downforce apabila jentera itu dipandu laju. 

Melihat dari arah sisi, 296 GTB merupakan model Ferrari yang paling pendek. Dengan rim bersaiz 20 inci depan belakang (lebih lebar) dan corong pengambilan udara yang besar untuk menyejukkan enjin, ini memang sebuah supercar yang sangat cantik. 

Bahagian belakang 296 GTB dibezakan dengan model Ferrari lain menerusi corong ekzos tunggal berbentuk empat segi di tengah-tengah bampar. Aspek aerodinamik dan downforce dipertingkatkan melalui ciri spoiler aktif yang akan dinaik dan diturunkan secara automatik bergantung kepada kelajuan.

Sama seperti model SF90 Stradale, pemilik yang mahu mengeksploitasi seluruh kuasanya terutama di atas litar boleh mendapatkan pakej Assetto Fiorano yang merangkumi komponen ringan serta modifikasi aerodinamik. 

Masuk ke ruang kabin, susun aturnya tidak jauh berbeza dengan Ferrari Roma. Sebagai sebuah Ferrari moden, ruang dalaman jentera itu tidak lagi mempunyai banyak butang fizikal. Sebaliknya, susun atur dan rekaan yang minimalis itu tambah elegan menerusi penggunaan paparan meter kluster digital bersaiz 16 inci. 

Semua butang kawalan, sama ada untuk sistem pendingin hawa, melaras cermin sisi dan butang pada stereng bersifat kapasitif yang mudah untuk dioperasikan. Tiada sebarang skrin besar lebar pada papan pemuka. Sebaliknya, penumpang diberikan satu skrin kecil yang menawarkan ciri-ciri seperyi audio, suhu, navigasi dan tetapan.  

Bagi membuatkan ruang ini kelihatan sporty, banyak sekali kemasan gentian karbon dipasang. Ia boleh dilihat dengan jelas pada konsol tengah yang hadir dengan rekaan tombol gear Ferrari klasik, paddle shifter, kerangka tempat duduk dan panel pintu.

Ok, berbalik kepada sesi pandu uji. Selepas siap memakai topi keledar, saya masuk ke dalam kabin 296 GTB yang merupakan versi pemanduan sebelah kiri dengan rasa teruja dan cuak. Rasa gementar bagaimanapun sedikit hilang kerana ditemani oleh seorang instruktor yang memberi arahan bilakah masa untuk memecut, membrek dan mengambil racing line dengan betul. 

Pandu uji berkenaan melibatkan lima pusingan dengan pusingan terakhir adalah untuk menyejukkan brek selepas ia ditekan keras sepanjang berada di litar. Memandangkan ini merupakan sebuah PHEV, kami keluar dari pit menggunakan mode eDrive atau elektrik sepenuhnya. 

Agak pelik rasanya apabila sebuah jentera berkuasa macam Ferrari ini meluncur senyap begini. Saya kemudian diberi penerangan mengenai mode-mode pemanduan yang ada seperti e-Drive, Hybrid, Performance dan Qualify. Semua mode itu boleh ditukar dengan mudah mengguanakn butang eManettino pada stereng.

Setiap kali mode berubah, karekter jentera itu juga berubah secara serta-merta. Perbezaan kuasa pecutan dapat dirasai dengan  sangat ketara, ditambah dengan bunyi enjin yang semakin jelas masuk ke dalam kabin. 

Padanan enjin penuh kuasa dengan kotak gear 8 kelajuan DCT, E-Diff dan MGU-K itu bekerja dengan sangat harmoni. Penukaran gearnya sama ada naik atau turun sangat pantas dan lancar.  Ia dapat dirasakan pada setiap saat kereta ini meluncur di atas litar, sama ada memecut atau memperlahankannya apabila tiba di selekoh. 

Dengan kuasa setinggi itu, pastinya 296 GTB memerlukan sistem brek yang tidak kurang hebatnya. Jujur saya katakan, saya sangat kagum dengan kuasa membrek jentera itu yang boleh membuatkan sesiapa sahaja yakin ketika membrek lewat di selekoh tajam. 

Dinamik pemanduan pula tak payah  cakap lah, hidangkanlah selekoh macam mana sekali pun, 296 GTB boleh melaluinya dengan cemerlang. Namun, pastinya selekoh itu perlu diambil dengan ilmu bukannya secara sembrono sahaja. Kalau begitu, silap-silap boleh terbabas. 

Sejujurnya sukar untuk saya menceritakan pengalaman dan keterujaan memandu sebuah Ferrari 296 GTB di litar Sepang dengan kata-kata. Malah, perkataan teruja itu sendiri sangat understatement. 

Maka benarlah, its so good to be rich.. 

GALERI

Google ads
Back to top button