Buletin

TEMPAHAN PERODUA BEZZA 2020 KINI DIBUKA. 4 VARIAN, ASA 2.0, BERMULA RM34,580 SEUNIT!

Perodua akan memperkenalkan Perodua Bezza 2020 tidak lama lagi. Versi terbaharu sedan popular itu akan menawarkan rekaan, pemanduan dan keselamatan lebih bijak sempena kedatangan tahun baharu.

Dibangun berdasarkan kepada maklum balas pelanggan, Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 V AV.

Ia boleh dimiliki pada harga bermula RM34,580 hingga RM49,980 (di atas jalan, tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia).

Perodua kini menerima tempahan untuk Perodua Bezza 2020 melalui semua 186 pusat jualannya di seluruh negara.

“Perodua Bezza merupakan sedan pertama kami dan juga sedan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia. Rekaan upper-body direka sepenuhnya oleh Perodua.

“Ia terbukti popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan jualan 184,000 unit sejak dilancarkan pada Julai 2016,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Bezza menawarkan penjimatan bahan api, kualiti, praktikaliti, kos pemilikan rendah dan ruang dalaman yang luas. Selain boleh dipercayai dan mudah dipandu.

Semua dalam satu pakej yang kompak dan menarik. Sekali gus menjadikannya kenderaan yang menepati citarasa dan diminati ramai.

Bezza 2020 tampil dengan gril hadapan, bampar baharu, lampu hadapan LED dan skirting sisi dwi-tona yang dipasang pada semua varian.

Varian X dan AV dilengkapi rim aloi 15 inci, manakala cermin sisi berkuasa boleh laras kini terdapat pada semua varian (boleh lipat pada AV).

Dua warna luaran baharu bagi Bezza – Garnet Red bagi varian-varian 1.3 liter sahaja dan Granite Grey. Ia menyertai empat warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 2.0 kini memasuki Bezza menerusi varian AV. Ini menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada sistem Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

Varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gayaan dalaman. Sementara ciri kemasukan pintar  dan butang penghidup enjin tanpa kunci, sensor sisi hadapan kini dipasang pada varian X dan AV. Harus tahu bahawa semua varian didatangkan dengan sensor undur dan kamera undur untuk AV.

“Kami harap penambahbaikan yang telah kami lakukan boleh bergabung dengan kelebihan-kelebihan yang sedia ada termasuk ruang bagasi seluas 508 liter dan kecekapan bahan api sehingga 22 km/l untuk memberikan pengalaman pemanduan yang anda inginkan selama ini,” kata Zainal lagi.

Perodua Bezza 2020 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

Google ads
Back to top button