
TEMPAHAN SMART #1 KINI DIBUKA – TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM200K HINGGA RM250K
Selepas membuat penampilan sulung pada Julai lalu di Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2023, smart Malaysia hari ini secara rasmi membuka tempahan untuk smart #1.
Didatangkan dalam tiga varian; Pro, Premium dan Brabus, ia bakal diberi tanda harga sekitar dari RM200,000 hingga RM250,000.
Bakal pembeli kini boleh menempah smart #1 melalui Hello smart App dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.

Bukan itu sahaja, 501 pelanggan pertama membuat pra-pesanan bakal menikmati manfaat #1 Early Bird, di mana ia akan memberi ganjaran kredit pengecasan bernilai RM1,001 yang akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas kereta diserahkan.
VARIAN PRO DAN PREMIUM.
Varian Pro diserlahkan melalui rim aloi-19 inci dan bumbung halo panoramik serta didatangkan dengan lima pilihan warna luaran iaitu:
- Digital White
- Laser Red
- Cyber Silver
- Quantum Blue
- Future Green

Di bahagian dalam pula, ia menampilkan trim standard After Dark.
Varian ini dilengkapi bateri LFP berkapasiti 49kWj, menawarkan jarak gerak sehingga 315km berdasarkan kitaran WLTP.
Untuk rekod, #1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2kW, di mana ia memerlukan tempoh selama enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus.

Bagi varian Premium pula, ia hadir bersama lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya serta bateri NMC berkapasiti 66kWh dengan jarak pandu sejauh 440km.
Selain itu, bahagian dalam varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.
#1 Premium menawarkan tujuh warna pilihan termasuk Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow serta dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.
Ia menyokong pengecasan 22kW dan mengambil masa sehingga tiga jam sahaja bagi pengecasan 10 hingga 80 peratus.

Pengecasan pantas DC boleh menampung sehingga 150kW yang berupaya mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro manakala varian Premium menelan masa 29 minit.
Dari segi kuasa, #1 Pro dan Premium dijana oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang, berupaya menghasilkan 272PS dan 343Nm.
Kuasa berkenaan memberi daya pecutan 0-100km/j dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum pula dihadkan 180km/j.
#1 BRABUS
Varian #1 Brabus diberi tujuh pilihan warna luaran selain, boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte atau Cyber Silver sekiranya memilih bumbung Radiant Red.
Sementara bumbung berwarna hitam pula boleh digabungkan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.
#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik, menghamburkan kuasa 428PS dan 543Nm serta dilengkapi dengan bateri NMC 66kWj, menawarkan jarak gerak 400km.
Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100km/j.
Untuk pengecasan, ia adalah sama seperti varian Premium iaitu mengambil masa selama tiga jam bagi pengecasan 10 hingga 80 peratus menerusi pengecas AC 22kW manakala dengan pengecas DC 150kW hanya memerlukan 29 minit sahaja.
GALERI:
smart #1 Pro




smart #1 Premium









smart #1 Brabus



