Buletin

TEMPAHAN TOYOTA INNOVA 2021 KINI DIBUKA. 3 VARIAN, BERMULA RM112K

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) akan melancarkan Toyota Innova 2021 tidak lama lagi.

Justeru bermula hari ini, pelanggan boleh menempah Innova 2021 yang ditawarkan dalam tiga varian.

Varian dan harga adalah seperti berikut:

  • Toyota Innova 2.0X – bermula RM129,677
  • Toyota Innova 2.0G – bermula RM121,483
  • Toyota Innova 2.0 E – bermula RM111,622

Terdapat enam pilihan warna iaitu perak metalik, hitam, putih, coklat dan Bronze Mica Metallic. Manakala varian Innova 2.0X ditambah dengan warna merah metalik.  

Mengekalkan gaya crossover dengan kelebihan ruang dalaman yang fleksibel, Innova 2021 datang dengan perubahan kosmetik pada bahagian depan untuk penampilan lebih kemas.

Tema kemasan hitam dan krom digunakan pada gril, perumah cermin sisi berwarna krom, lengkap dengan lampu isyarat membelok (Innova 2.0X dan Innova 2.0G). Perumah lampu kabus turut diberikan rekaan baru.

Innova 2.0X juga didatangkan dengan arca roda baharu dan skirting sisi dan rim aloi 17 inci berwarna gelap. Rim bagi Innova 2.0G pula menerima rekaan baru yang lebih dinamik.

Bahagian belakang menyaksikan kemasan pintu dengan rekaan baru, sementara landasan pada bumbung (Innova 2.0X) diberikan profil baru supaya lebih aerodinamik.

Sistem infotainmen terdiri daripada skrin sentuh kapasitif bersaiz 9 inci yang turut memaparkan Panoramic View Monitor (PVM) sebagai ciri standard bagi Innova 2.0X dan Innova 2.0G. Paparan PVM itu telah ditukar daripada jenis 2D kepada 3D pandangan lebih jelas.

Mendengar maklum balas daripada pelanggan, lebih banyak slot pengecas ditambah. Di depan tersedia dua port USB yang diletakkan pada papan pemuka berbanding pada konsol tengah sebelum ini.

Port USB ada disediakan untuk penumpang kerusi barisan kedua dan ketiga. Ia  mempunyai ciri pengecasan pantas untuk peranti yang serasi dengannya.

Pelantar pengecas tanpa wayar turut ada di bahagian konsol tengah sebagai ciri tambahan ketika membuat tempahan.

Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) kini ditawarkan sebagai standard untuk Innova 2.0X dan 2.0G.

Semua varian Innova menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Ia juga dilengkapi tujuh beg udara SRS dan tali keledar 3 poin dengan ciri auto retracting pada tempat duduk baris ketiga.

Tidak ketinggalan, sistem keselamatan pasif seperti ABS dengan Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill-start Assist Control (HAC).

Bagi meningkatkan lagi aspek keselamatannya, Toyota Vehicle Telematics System (VTS) turut disediakan. Sistem itu berfungsi mengesan pergerakan kenderaan menggunakan teknologi GPS dan GSM.

Sekiranya kenderaan dicuri, VTS Command Centre boleh mengesan lokasi kenderaan dan memaklumkan pihak berkuasa untuk mendapatkannya semula dalam masa yang singkat.

Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMWT, jaminan lima-tahun diberikan tanpa had perbatuan.

Tempahan boleh dibuat di semua bilik pameran Toyota seluruh negara serta secara dalam talian di build.toyota.com.my.

Lokasi semua bilik pameran boleh dirujuk di www.toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota 1800-8-TOYOTA (869682).

GALERI

Google ads
Back to top button