Buletin

PEMILIK JUMPA BALIK CAMARO 1969 KENA CURI 17 TAHUN LALU

Berdepan situasi kenderaan dicuri merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apatah lagi jentera berkenaan menyimpan pelbagai nostalgia.

Begitupun, pemilik sebuah jentera Chevrolet Camaro 1969, Tommy Cook menemui semula kenderaan kesayangannya selepas 17 tahun.

Menurut The Free Lance-Star, kereta lelaki berkenaan dicuri dari bengkel baik pulih kenderaan miliknya pada tahun 2003.

Ketika kejadian, Camaro tersebut tidak mempunyai enjin kerana telah dikeluarkan terlebih dahulu dan dipercayai dilarikan dengan menggunakan treler. 

Cook tidak pernah berputus asa untuk menemui semula muscle car terbabit tetapi peluang agak tipis meniti tahun demi tahun.

Ia berubah apabila seorang kenalan memintanya untuk mencari Camaro 1968 di kedai berhampiran.

Setibanya Cook di kedai tersebut, sebuah Camaro 1969 menarik perhatiannya.

Dia bertanya tentang muscle car berwarna hijau itu dan dimaklumkan warna asalnya merupakan jingga (Hugger Orange),  sama seperti Camaro 1969 milik lelaki terbabit.

Cook terus melontarkan beberapa soalan berhubung jentera itu tetapi jawapan yang diberikan tidak masuk akal.

Dia menyedari Camaro 1969 yang berada di kedai tersebut mempunyai banyak persamaan dengan kenderaan miliknya.

Sebagai contoh, ia dilengkapi pendakap rare dipasang khas menampung tempat duduk belakang yang boleh dilipat.

Selain itu, dia turut menemui cap VIN yang tidak sepadan seperti ingin menyembunyikan nombor berkenaan.

Dia melihat dokumen kenderaannya dan mendapati VIN pada kereta di kedai tersebut sepadan dengan Camaro 1969 miliknya yang hilang apabila pulang ke rumah.

Tanpa berlengah, Cook menghubungi pihak polis dan menceritakan apa yang terjadi.

Bagaimanapun, dia memaklumkan kepada pihak berkuasa pemilik kenderaan sekarang merupakan mangsa keadaan malah kenderaan curi itu telah bertukar tangan sebanyak empat kali.

Katanya, Camaro 1969 tersebut juga telah dinaik taraf malah mendapat khidmat enjin V8 5.7 liter.

Secara keseluruhan, dia menjelaskan kereta itu berada dalam keadaan lebih baik berbanding sebelum ia dicuri.  – carscoops

Google ads
"
"
Back to top button