Motosikal

TERKINI: KYMCO DTX250 LANCAR SUKU KEDUA TAHUN INI – 22.8HP, 23NM

Sejak pembukaan tirai 2025, motosikal jenis skuter maxi (250cc keatas) jelas menjadi percaturan terbaru pengeluar motosikal di Malaysia. Setakat ini beberapa model telah pun dilancarkan antaranya Zontes 368G, SYM Husky ADV 300 serta Aveta Vanguard 250. 

Terbaru, kami difahamkan, MODENAS akan turut memeriahkan lagi segmen skuter maxi kali ini menerusi Kymco DTX250. Menurut sumber, DTX250 itu akan dilancarkan sekitar Suku Kedua (Q2) tahun ini, jangkaan sekitar bulan Mei. 

Ketibaan DTX250 telah pun dijangka ekoran kelibat motosikal itu dilihat menjalani ujian jalan raya sekitar Disember 2023. 

Untuk rekod, KYMCO DTX250 ini tampil dengan reka bentuk yang diilhamkan daripada DTX360 yang dipasarkan di Eropah. Namun di pasaran China, model ini tampil dengan nama KYMCO S250. 

Membuat debut global pada tahun 2022, DTX250 ini tampil dengan beberapa ciri moden termasuk lampu LED dengan DRL (daytime running light), penghadang angin tinggi, panel meter digital LCD dan tangki bahan api 13.5L. 

DTX250 juga menawarkan sistem keselamatan terkini antaranya ABS dwi-saluran dan ‘traction control’ secara standard. 

Atas kertas, DTX250 menawarkan 22.8hp pada 7,500rpm dan 23.6Nm pada 6,000rpm hasil daripada enjin satu silinder 250cc 4-valve. Ini bermakna, DTX250 lebih berkuasa berbanding Modenas Elegan 250EX yang juga merupakan skuter yang dijenamakan semula dari Kymco. 

Memandangkan jurang antara DTX250 dan Elegan 250EX tidak terlalu besar adakah DTX250 merupakan pengganti? Segalanya akan terjawab sebaik DTX250 ini dilancarkan dalam beberapa bulan lagi. 

GALERI: KYMCO DTX250

Google ads
Back to top button