Buletin

TERTIPU TOYOTA C-HR MURAH DI MEDIA SOSIAL. RUGI CECAH RM13,150

Seorang anggota tentera yang berhasrat membeli Toyota C-HR pada harga RM18,000 melalui iklan di laman sosial Facebook terpaksa berputih mata apabila ditipu penjual terbabit.

Kejadian bermula pada 20 Januari lalu apabila lelaki berusia 22 tahun itu melayari laman sosial Facebook dan melihat iklan jualan kenderaan murah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berurusan dengan suspek lelaki yang menggunakan nama Ang.

“Mangsa bersetuju membeli kenderaan itu pada harga RM18,000 dan membuat tujuh kali transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun.

“Selepas memindahkan duit tersebut, mangsa diminta membayar lagi bayaran berjumlah RM5,000,” katanya.

Mohd. Wazir berkata, mangsa bagaimanapun tidak melakukan bayaran tambahan tersebut dan tampil membuat laporan di Balai Polis Triang, Bera kerana berasa tertipu.

“Mangsa mengalami kerugian RM13,150 dan tidak melakukan bayaran tambahan seperti diarahkan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Utusan Online

Google ads
Back to top button