Buletin

TESLA SAMAN MEDIA CHINA TERBIT ARTIKEL NEGATIF

Tesla mengambil tindakan undang-undang terhadap media China setelah menerbitkan artikel yang mengkritik Shanghai Gigafactory pada 25 Disember tahun lalu.

Artikel berkenaan berjudul ‘Giga-Sweatshop Meets Corporate Overloards: An Exclusive Look Into How Tesla China Runs Its Shanghai Gigactory 3’ diterbitkan PingWest membuat dakwaan negative berhubung keadaan kerja di kemudahan tersebut serta masalah kawalan kualiti dan beberapa perkara lain.

Beberapa pekerja dan bekas pekerja Tesla China mendakwa “Tesla melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat pengeluaran termasuk menurunkan kualiti piawaian” kata mereka kepada PingWest.

Satu sumber mendakwa dia menyedari sekurang-kurangnya satu kes apabila Tesla dengan sengaja menggunakan bahagian komponen rosak pada kenderaan pengeluaran.

Dalam pada itu, seorang wakil pembekal Tesla menambah bahawa “Kami tidak mampu menghasilkan bahagian mencukupi yang menepati piawaian. Ia sangat memberi tekanan. Penyelesaiannya sangat mudah, ambil bahagian rosak dan hantar pada Tesla.”

Seorang pekerja mendakwa, pengeluar kenderaan itu turut menghasilkan kenderaan tidak mengikuti kawalan piawaian kualiti yang ditetapkan dan bukannya menggunakan pembekal lebih baik tetapi menurunkan piawaian pemeriksaan sebelum penghantaran.

“Sebagai contoh, pada masa lalu, kenderaan berkenaan memerlukan 80 mata untuk meninggalkan kilang tetapi kini hanya perlu 60 mata sahaja,” kata pekerja itu lagi.

Sumber berkata kepada PingWest turut mendakwa Tesla tidak menyediakan makanan kepada para pekerja di kilang terbabit tetapi membekalkan mi segera kepada pekerja syif yang memulakan tugas selepas pukul 8.30 malam.

Ia juga mendakwa permintaan pembekalan roti stim kepada para pekerja ditolak oleh Tesla.

Menurut laporan Global Times, tidak senang dengan tuduhan berkenaan, Tesla baru-baru ini, mengeluarkan surat dakwaan kepada PingWest dan membawa media tersebut ke mahkamah.

Timbalan Presiden Perhubungan Luar Tesla China, Tao Lin menolak semua tuduhan tersebut tetapi PingWest tetap mempertahankan laporan itu dan mengatakan informasi disalurkan oleh para pekerja dan bekas pekerja Tesla serta sumber dalaman industri. – carscoops

Google ads
Back to top button