Buletin

TESLA SUDAH TERIMA LEBIH 1.25 JUTA PRA-TEMPAHAN CYBERTRUCK!

Walaupun masih belum jelas bilakah sebenarnya Tesla akan memulakan produksi model Cybertruck, ia tidak pernah memadamkan minat pengguna untuk memilikinya. 

Selepas dua tahun diperkenalkan, tempahan Cybertruck terus meningkat. Malah sepanjang minggu lepas sahaja, lebih 17,000 tempahan diterima. Ini menjadikan tempahan sudah mencecah lebih 1.25 juta unit. Ini bermakna, sekitar 250,000 tempahan telah diterima sejak Mei 2021 ketika jumlah tempahan mula menjangkau angka 1 juta. 

Menurut data daripada online reservation tracker yang dibina sendiri oleh peminat Tesla, secara tepatnya 1,256,487 Cybertruck sudah ditempah setakat ini. Jika angka itu menjadi kenyataan, Tesla mampu mencatat perolehan sebanyak AS$79 bilion (RM333.4 bilion). 

Tempahan yang menggila itu juga membuatkan Cybertruck sebagai peneraju dalam segmen trak pikap elektrik. Namun, pesaingnya seperti Ford F-150 Lightning juga menerima tempahan yang bagus iaitu 120,000 dalam masa cuma dua bulan setengah selepas ia diperkenalkan.

Sumber tidak rasmi menyatakan kira-kira 48 peratus tempahan Cybertruck melibatkan varian Dual Motor. Manakala varian paling tidak popular ialah Single Motor dengan hanya 7 peratus tempahan. 

Melihat kepada angka itu, tiada sebab kenapa Elon Musk perlu rasa takut Cybertruck tidak akan berjaya. Tetapi, dengan jumlah begitu tinggi, pelanggan juga perlu menunggu lebih lama untuk memandu trak masing-masing. Sebarang penangguhan produksi pastinya akan memburukkan lagi keadaan. 

Baru-baru ini, Tesla mengumumkan bahawa kilang Giga Texas yang membina Cybertruck akan mula menghasilkan Model Y terlebih dahulu. Sebelum ini, Musk ada memberitahu produksi Cybertruck secara besar-besaran bakal bermula tahun depan. Tak tahulah lah tu…

Google ads
Back to top button