Buletin

THEON DESIGN CHI001, PORSCHE 911 BADAN GENTIAN KARBON!

Aktiviti baik pulih model klasik Porsche di Eropah memang hebat dan dibuat dalam pelbagai konsep. Terbaru Theon Design memperkenalkan CHI001, sebuah Porsche 911 (964) yang telah dibaik pulih dan dipertingkatkan untuk pelanggan di Chile.

Apa keistimewaan CHI001? Hampir keseluruhan badan diperbuat daripada gentian karbon!

Individu di sebalik Theon Design pula bukan calang-calang. Adam Hawley adalah seorang peminat Porsche dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam reka bentuk automotif.

Di antara pengalaman kerja beliau ialah di JLR, BMW, Lotus dan pernah membantu dalam merekabentuk bahagian dalaman mewah pesawat Airbus A380. 

CHI001 digerakkan enjin 4.0 liter hela udara alami (n/a) berkuasa 400bhp dan tork 474.5 Nm.

Enjin itu dipertingkatkan dengan roda tenaga (flywheel) tunggal, badan pendikit berasingan yang dibangunkan bersama Jenvey Dynamics dan trumpet yang direka oleh Theon.

Penutup kipas gentian karbon membantu penyejukan enjin dan menaikkan lagi penampilan enjin kereta ini.

Asal kereta ini ialah 964 Carrera 4 (pacuan semua roda) dan kini kuasa dihantar ke roda belakang sahaja melalui kotak gear enam kelajuan yang ringan dan diubah suai daripada transmisi G50 993.

Pembeza gelincir terhad (LSD) dari Wavetrac dipasang untuk peningkatan kawalan dan cengkaman dan tuil gear RS digunakan untuk rasa tukaran gear langsung dan pantas.

Sebagai projek baik pulih, badan kereta ditanggalkan sepenuhnya dan Theon Design menggunakan komponen gentian karbon pada hampir keseluruhan komponen.

Bumbung, bonet, penutup enjin, spoiler, bampar dan pelindung ambang pintu semuanya daripada gentian karbon. Kevlar hitam digunakan pada liner arka roda.

Cumanya, pintu diperbuat daripada besi sebagai pelindung impak sisi.

Warna digunakan juga menarik iaitu Viola Metallic yang pertama kali membaluti Porsche 911 (964) 30th Anniversary tahun 1993.

Roda yang digunakan saiz 17 inci gaya Fuchs dan perincian dapat dilihat pada grafik Royal Purple dan warna sama dipadan pada angkup brek dan kulit bahagian dalaman.

Pada bahagian dalam, kereta ini dibuat dengan citarasa tinggi melalui bahan utama kulit patina (berusia) yang membalut pelbagai komponen.

Pemandu dan penumpang sisi duduk di atas kerusi Recaro Club Sport dan penumpang diberi kerusi Touring.

Kereta ini juga menggunakan riasan gentian karbon bersama kulit pada konsol tengah dan sebagainya.

Apa lagi yang istimewa pada CHI001? Stereng asal diganti dengan stereng berkuasa hidro-elektrik Theon, ekzos boleh laras dan suspensi spesifikasi RS separa aktif dari TracTive.

Pemandu boleh memilih lima tetapan redaman melalui suis pada konsol tengah.

Sistem Active Controlled Electronics (ACE) TracTive memberikan pengendalian yang jitu dan stabil sama ada di selekoh mahupun ketika membrek.

Pembrekan CHI001 turut ditingkatkan menggunakan cakera dan pad daripada karbon. Pengendalian dibantu oleh spoiler jenis aktif untuk keseimbangan di dalam pelbagai kelajuan.

Satu lagi yang menarik, pendawaian kereta jenis khas dari MoTeC Power Distribution Modules untuk mengurangkan berat kereta.

Sistem penyaman udara juga jenis ringan dengan dua kondenser dipasang di depan dan turut membantu dari segi pembahagian berat.

Berat keseluruhan CHI001 dengan bendalir dan setangki penuh hanya 1164 kg!

Berapa pula harga kereta ini? Theon Design tidak menyatakan secara spesifik namun untuk setiap projek ianya bermula daripada GBP£380,000 (RM1,966,202).

Harga tersebut tidak termasuk sebuah Porsche asal, cukai dan penghantaran!

BACA: AUTOART 993R – PORSCHE IKONIK SENTUHAN PAUL STEPHENS!

BACA: SEGALANYA TENTANG PORSCHE 991.1 GT3

BACA: PORSCHE SURFACE COATED BRAKE, BREK CAKERA SENTIASA BERKILAT

Google ads
Back to top button