Buletin

AUTOART 993R – PORSCHE IKONIK SENTUHAN PAUL STEPHENS!

Paul Stephens adalah syarikat pakar dalam bidang kereta sport terutama sekali Porsche dan beroperasi di Essex, United Kingdom. Di antara model signatur Paul Stephens ialah Autoart 300R yang dikeluarkan sekitar 20 tahun lalu. Sebelum itu lagi atau pada tahun 2007 Paul Stephens mengeluarkan Clubsport.

Terbaru Paul Stephens berkongsi objek seni terbaru iaitu Autoart 993R yang dibaik pulih dan diubah suai daripada siri 993 Porsche 911.

Menarik tentangnya ialah pelanggan meminta supaya semua aspek kereta ditingkatkan sebanyak 25 peratus dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan termasuk tempoh pandemik Covid-19.

Sama seperti Autoart 300R 20 tahun lalu, Paul dan kakitangannya mahu 993R tampil lebih ringan dan lebih berkuasa dengan casis lebih canggih untuk pemanduan lebih jitu berbanding model asal.

Enjin 3.6 liter flat six dibesarkan kepada 3.8 liter dan dipasangkan komponen seperti aci engkol 997 GT3, aci sesondol yang dimesin mengikut rekaan Paul Stephens dan solid lifter dari Porsche Motorsport.

Enjin itu dipadan bersama transmisi 993 G51.21 enam kelajuan dengan klac dan roda tenaga (flywheel) yang diringankan.

Kuasa yang dicapai ialah 330 bhp pada 7,400 rpm berbanding kuasa asal 272 bhp pada 6,100 rpm.

Daya kilas juga meningkat kepada 360 Nm pada 5,675 rpm dan berat kering dikurangkan kepada 1,190 kg dan berat basah 1,220 kg daripada 1,370 kg.

Fokus pengubahsuaian adalah pada pemanduan harian berbanding kuasa tinggi. Pelanggan yang mahukan lebih kuasa boleh mendapatkan versi 360 bhp dengan putaran 8,500 rpm.

Satu yang menarik tentang ialah Autoart menggunakan brek 993RS berbanding set moden dengan cakera karbon memandangkan berat kereta ini sudah diturunkan dan lebih berkuasa.

Membantu dalam pengendalian ialah pembeza gelincir terhad (LSD) Wavetrace ATB dan suspensi separa aktif Tractive Ace dan dipadan bersama komponen Porsche Motorsport.

Suspensi boleh laras itu disambungkan kepada Modul Kawalan Elektrikal (ECM) yang diprogramkan dengan lima tetapan dan boleh dikawal oleh pemandu walaupun kereta sedang bergerak.

Pada bahagian dalam, kereta ini dipasang rangka keselamatan dan kerusi Recaro menggantikan kerusi asal dengan larasan elektrik.

Banyak komponen ditanggalkan seperti tingkap berkuasa, audio, sistem kunci berpusat dan sebagainya untuk mengurangkan berat.

Pada bahagian luar, bumbung suria ditukar kepada panel bumbung baharu dan bonet aluminium Porsche Motorsport dengan berat lapan kilogram menggantikan unit asal daripada besi.

Cermin sisi juga ditukar kepada yang lebih ringan dengan berat hanya 0.25 kilogram sepasang. Set penggilap cermin belakang turut ditanggalkan dan cermin sisi dan belakang dari Porsche Motorsport.

Bampar depan dan belakang pula diganti dengan PS Autoart dari komposit dengan berat sembilan kilogram setiap satu.

Roda kekal Porsche dan diambil dari 996 GT3 RS saiz 18 inci dan dipadan bersama tayar Michelin Pilot Sport.

BACA: PORSCHE 911 SPORT CLASSIC 2023 DEBUT, 550 PS, KOTAK GEAR MANUAL, 1250 UNIT SAHAJA

BACA: SEGALANYA TENTANG PORSCHE 991.1 GT3

BACA: PORSCHE SURFACE COATED BRAKE, BREK CAKERA SENTIASA BERKILAT

Google ads
Back to top button