TIADA LAGI SISTEM NAVIGASI DALAMAN PADA FERRARI SELEPAS INI – TELEFON PINTAR DAN CUKUP
Kebanyakan pengeluar kenderaan zaman sekarang memang menyediakan sistem navigasi dalaman pada kenderaan keluaran mereka. Ia dah macam satu pakej wajib tapi kita yang kena bayar lebih untuk fungsi tersebut. Ferrari mengambil langkah berbeza bila memutuskan untuk membuang fungsi navigasi pada model-model terbaru mereka termasuklah Purosangue dan 12Cilindri.
Ini dinyatakan sendiri oleh pengarah pemasaran produk Ferrari, Emanuele Carando dalam satu temubual dengan Drive. Beliau menyatakan yang telefon pintar adalah lebih mesra pengguna dan terkini menjadikan sistem yang digunakan oleh kenderaan sebelum ini sekadar ulangan (dah ada telefon dengan fungsi sama kenapa perlu ada satu lagi fungsi sama dalam kereta) dan tidak lagi diperlukan.
Ferrari sendiri sedar yang pemilik kereta-kereta keluaran mereka tidak memandu Ferrari mereka setiap hari jadi kenapa mereka perlu mengenakan caj yang lebih untuk sistem navigasi yang jarang digunakan. Baik betul Ferrari ni kan? Sangat bertimbang rasa.
Majoriti penduduk dunia kini mempunyai telefon pintar dan tidak hanya terhad kepada pemilik Ferrari dan ia merupakan antara item paling penting dan digunakan setiap hari, tambah Carando. Betul tu bos, abang pakai Alza pun dah lama pakai telefon pintar bos.
Setelah hampir sedekad sejak Apple CarPlay dan Android Auto dan keduanya menjadi antara fungsi wajib dalam kesemua kenderaan baharu. Penggunaan mahukan teknologi tersebut tapi ada pengeluar yang mahu menggunakan sistem rekaan dalaman mereka sendiri.
Kini Ferrari menunaikan permintaan pengguna dan kebebasan kepada mereka tanpa perlu membayar kos lebih untuk sistem yang jarang digunakan. Alah kawan abang yang pakai Ferrari biasa keluar masa konvoi je. Janji kepala yang kat depan tu tahu destinasi yang dituju confirm tak sesat dik.