
HONDA CRF1100L AFRICA TWIN ADVENTURE SPORT ES KINI DI MALAYSIA – RM119,388
Boon Siew Honda dengan rasminya melancarkan Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sport ES untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM119,388.
Hadir dengan dua pilihan warna, Mat Ballistic Black Metallic dan Pearl Glare White, model baharu ini akan tiba di pusat pameran dan jualan pada 19 Jun ini.

Bagi pasaran global, terdapat dua varian diperkenalkan namun di Malaysia hanya varian perdana (flagship) yang hadir dengan transmisi DCT (dual-clutch transmission) ditawarkan disini.
Untuk rekod, model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin parallel-twin 1,084cc yang sama namun telah dipertingkat bagi tahun 2024. Pertamanya, 112Nm tork hadir lebih awal iaitu pada 5,500rpm berbanding 6,250rpm sebelum ini.

Menurut Honda, tork tersebut tiba lebih awal hasil nisbah mampatan 10.5:1 berbanding 10.1:1 sebelum ini. Perkara itu juga dicapai dengan mengubah ‘valve timing’ dan ‘intake ports’ serta menala semula ECU.
Honda juga memastikan suspensi Showa EERA (separa aktif) kini didatangkan secara standard pada kedua-dua varian selain daripada tayar ‘tubeless’ Metzeler Karoo Street dan penghadang angin baharu dengan lima tetapan. Selain itu, bagi mengurangkan rintangan angin, Honda juga mereka semula panel badan di hadapan.

Menyedari ramai yang menggunakan varian Adventure Sport di jalan raya berbanding ‘off-road’, Honda juga memperkenalkan rim 19-inci baharu dengan tayar depan yang lebih lebar. Fork depan juga kini menawarkan jarak pergerakan 20mm lebih pendek.
Tidak cukup dengan itu, Honda juga menaik taraf tempat duduk yang kini 15mm lebih tebal berbanding model terdahulu.

Dalam pada itu, Honda turut menurunkan ketinggian tempat duduk dari 850mm hingga 870mm kepada 835mm hingga 855mm. Tempat duduk itu juga boleh diturunkan kepada 795mm menggunakan aksesori tambahan.









